Meraikan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun mengingatkan rakyat negara ini terhadap sejarah penubuhan Malaysia daripada Persekutuan Tanah Melayu. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada tahun 1963 apabila Singapura, Sabah dan Sarawak turut mendapat kemerdekaan daripada British menerusi Malaysia.

Itu adalah fakta sejarah yang tidak berubah. Bagaimanapun, jika diperhalusi sejauh mana jati diri rakyat Malaysia memahami nilai sejarah itu terus menjadi persoalan.

Kisah pahlawan Melayu, Mat Kilau antara yang diceritakan menerusi buku sejarah di negara ini.

BELAJAR SEJARAH HANYA LULUS PEPERIKSAAN

Ia mungkin dianggap klise tapi hakikatnya, kebanyakkan daripada rakyat Malaysia hanya belajar sejarah untuk lulus peperiksaan.

Perkara tersebut dinyatakan Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpandangan sejarah menjadi tarikh sangat penting sehingga tidak boleh dipersoalkan termasuk sejarah Malaysia sendiri.

"Seperti mana sejarah pahlawan Melayu, Mat Kilau bersama Datuk Bahaman lebih dikenali sebagai orang jahat tetapi apabila saya masuk Fakulti Sejarah, saya mula kenal mereka sebagai hero. Ini bermakna, soalan integriti sejarah adalah penyampaian dan pentafsiran.

"Begitu juga apabila kita hanya belajar sejarah kerana terikat dengan peperiksaan dan hanya nak lulus peperiksaan. Bagaimana kita mahu mentafsir sejarah apa yang sebenarnya berlaku dan ini masalahnya. Dalam sejarah kita sendiri, ada pelbagai cara untuk menyampaikan sejarah," katanya pada sesi Dialog: "Mat Kilau - Penentang atau Pejuang?" Perspektif Integriti yang diadakan di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, tidak ada satu interpretasi yang tepat mengenai sejarah sebagaimana British melabelkan pejuang Melayu sebagai 'rebellion' (pemberontak) dan bukannya 'nationalist movement' (pejuang negara).

"Dalam konteks ini dapat dilihat sejarah hero atau sejarah penjahat, 'the winner or the loser'. Sejarah sepatutnya untuk semua bukan untuk terpilih antara hero atau penjahat.

"Pembentukan negara tidak hanya dibentuk hero atau orang jahat. Penyumbang kepada perkembangan masyarakat adalah dari semua kelompok termasuk petani dan ibu. Persoalannya, bagaimana kita mahu masukkan semua anggota masyarakat ini dalam sejarah apatah lagi mana ada ahli sains masuk dalam sejarah," katanya.

Laluan Mat Kilau sejauh 300 kilometer dipaparkan menerusi program dokumentari terbaru, Jejak Mat Kilau terbitan Institut Integriti Malaysia.

CARA BELAJAR SEJARAH PERLU DIUBAH

Dr Shamsul yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan istilah pengajian Malaysia adalah persoalan bagaimana atau evolusi sebuah masyarakat berlaku di mana semua orang terbabit bukan dua atau tiga orang.

"Mengambil iktibar kata-kata Mat Kilau mengatakan sejarah itu adalah perkembangan bangsa dan negara manakala penceritaan itu bukan hanya memerlukan beberapa individu tapi banyak lapisan.

"Saya pernah diajukan soalan, mengapa orang Cina menganggap mereka sebagai 'second class citizens'? sebabnya mereka tidak dimasukkan dalam buku sejarah.

"Belajar sejarah tidak dikaitkan dengan elemen komersial dan 'tourism' tapi hanya pengetahuan sahaja. Sejarah pada saya adalah 'adventure' dan perlu juga ada pengaruh hiburan dalam penyampaian sejarah.

"Seperti mana penerbitan program National Geograpic menyatakan ia bukan kuliah sejarah tapi program hiburan. Ada satu fasa dalam pendidikan apabila ia bertukar dari idealistik. Seperti universiti bukan lagi dikenali menara gading tapi sebagai komiditi atau pelabuhan. Sejarah juga mesti ada elemen hiburan dan kita berdepan masalah dalam penyampaian sejarah.

Tegasnya, masyarakat harus faham dan dapat membezakan antara nostalgia dan sejarah. Begitu juga, pemilihan penyampaian sejarah kena jelas termasuk kumpulan sasaran.

"Jika mahu tarik perhatian golongan muda belajar dan memahami sejarah, mungkin kita boleh cipta permainan video seperti antara Hang Tuah lawan Hang Jebat," katanya.

Kubu Mat Kilau turut menarik perhatian ramai yang menyimpan sejarah sebagai strategi perang pahlawan Melayu itu.

SEJARAH MAT KILAU DIJEJAKI SEMULA

Sempena sambutan Hari Malaysia kali ini, INTEGRITI menerbitkan dokumentari Jejak Mat Kilau yang mengimbau semula sejarah perjuangan pahlawan Melayu itu menerusi rakaman laluan perjalanan yang digunakannya ketika menentang British.

Barisan kru produksi dokumentari, Jejak Mat Kilau diraikan pada majlis pelancaran dokumentari tersebut di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Program Sejarah, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Profesor Madya Dr Mohd Samsudin berkata, apa yang digambarkan Mat Kilau terhadap laluan ini sebagai satu kelebihan menggunakan alam sekitar dan mempunyai strategi perang yang sangat menarik.

"Ia begitu strategik sehingga pada akhirnya mereka sukar ditentang. Menyelusuri jejak laluan sejauh lebih 300 kilometer ini menunjukkan beliau bukan pejuang biasa yang dapat mengatasi Istana Pahang sehingga digelar penderhaka," katanya.