Jika anda berkunjung ke pekan Hulu Langat, pasti mata terpandang beberapa papan tanda antaranya, ‘Akok di hadapan'; ‘Akok 50 meter di hadapan’.

Walaupun hanya ditulis dengan cat merah, papan tanda itu cukup bermakna kepada pasangan suami isteri yang mengusahakan kuih tradisional Pantai Timur ini.

Memulakan perniagaan empat tahun lalu, gerai akok milik Mohd Ridzuan Rahmat, 49, dan Wan Nakimah Wan Daud, 44, memiliki keunikan tersendiri apabila masih mengekalkan cara tradisional dalam menyediakan kuih akok yang sedap dan lembut.

Untuk mencari gerai milik Mohd Ridzuan amat mudah sekali, ia terletak di antara laluan dari Ampang - Pekan Hulu Langat - Kajang dan gerainya sering mengeluarkan asap tebal menandakan mereka sedang membakar kuih.


RASA LARI APABILA API TERLALU BESAR

Sesiapa saja pasti teruja mahu merasai akok yang lembut.

Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, perniagaan pasangan ini dibantu oleh anak-anak mereka. Ketika kunjungan ke gerai mereka baru-baru ini, penulis kagum dengan usaha pasangan ini mengajar anak mereka cara berniaga dan membuat kuih akok dari usia kecil.

Walaupun jam pada ketika itu baru 3 petang tetapi gerainya dipenuhi pelanggan yang sanggup beratur menunggu akok yang dipesan siap dibakar.

Ditanya Rojak Daily Skop!, mengapa mereka tidak menggunakan cara moden yang lebih cepat dan mudah untuk menghasilkan kuih berkenaan, Mohd Ridzuan menyatakan selain permintaan pelanggan yang mahu ia disediakan dengan cara lama, rasanya juga lebih asli dan berbau wangi.

“Bau tidak hanyir kalau guna cara sekarang, memang ada niat hendak tukar tetapi ada pelanggan 'ugut' tidak akan membeli kuih di tempat saya lagi kalau tukar ke dapur gas," katanya.

Berkongsi cabaran atau kesulitan yang dialami ketika mengusahakan kuih akok tradisional ini, Mohd Ridzuan menyatakan kaedah pembakaran secara tradisional memerlukannya sentiasa peka dan mahir mengawal api.

"Api memainkan peranan penting dalam menghasilkan akok yang berkualiti dan sedap. Jika api terlalu besar, bentuk akok dan rasanya pasti akan lari.

"Bermain dengan api ini bukan mudah, kadang-kadang angin kuat, habis satu gerai berdebu kesan daripada pembakaran arang. Jika tiada angin pula, letih nak mengipas untuk bagi api sekata," katanya.

Selain kawalan api, penyedian akok juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana perlu berdepan api yang panas dan asap yang tebal ketika proses membakar.


TERPAKSA TIPU PELANGGAN

Pelanggan gemar akok yang dijual di sini kerana ia dimasak secara tradisonal.


Cabaran lain, Mohd Ridzuan berkata, tidak banyak kuih boleh dibuat dalam satu masa dan kosnya agak mahal kerana acuan sedia ada hanya mampu membuat 10 biji akok pada satu masa.

"Ketika ini, saya hanya ada lima acuan. Kadang-kadang memang terpaksa 'tipu pelanggan' yang akok saya sudah habis. Sebab saya tidak mahu mereka tunggu lama. Mana yang boleh tunggu, saya akan beritahu tempoh menunggu," kata anak jati Hulu Langat ini.

Katanya, dia mampu menjual kuih akok sebanyak tiga tong besar pada hari biasa malah sehingga 10 tong pada hujung minggu berikutan permintaan menggalakkan.

"Untuk menghasilkan satu tong besar, saya menggunakan 240 biji telur, 10 kilogram (kg) santan, 6 kg gula dan 4 kg tepung beras. Nak hasilkan akok yang sedap, kita tidak boleh kedekut.

"Ada peniaga guna telur sedikit, tepung banyak sebab itu bila kita tengok ada akok yang dijual di ibu negara kurang sedap atau keras. Namun, biar untung sedikit asalkan pelanggan gembira itu sudah memadai buat saya," katanya.


CARI PAKCIK TAK JUMPA

Mohd Ridzuan terpaksa 'tipu pelanggan' akok sudah habis sebab tidak mahu mereka tunggu lama.


Berkongsi kisah bagaimana dia mula berniaga kuih akok ini, Mohd Ridzuan memberitahu ia bermula apabila pertemuan dengan seorang penjual kuih akok tradisional empat tahun lalu ketika dia bersama keluarganya dalam perjalanan melawat bapa mentuanya yang terlantar sakit di Kelantan.

Walaupun singkat tetapi pertemuan itu cukup bermakna dan sekali gus mengubah kehidupannya sekeluarga yang sebelum itu sering kali gagal dalam setiap perniagaan sehingga diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Mohd Ridzuan mengimbau kembali memori pertemuan itu di mana dia bertemu dengan penjual kuih berusia dalam lingkungan 50-an ketika berhenti rehat di tepi jalan raya menghala ke Kelantan.

"Saya menaiki kereta sudah uzur dengan isteri serta beberapa orang anak, ketika bertemu pakcik itu dia bertanyakan masalah saya selepas melihat riak muka saya yang dalam kegelisahan. Saya ceritakan kepadanya masalah kegagalan dalam perniagaan kepadanya dan ia seolah bercakap dengan ayah sendiri.

"Dia kasihan dengan nasib saya dan terus mengajar cara membuat akok termasuk memberikan resepi turun temurun yang diamalkan sejak 30 tahun lalu dengan harapan ia dapat membantu mengubah kehidupan kami sekeluarga.

"Alhamdulillah, walaupun berdepan kesulitan pada awalnya tetapi berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, saya berjaya menghasilkan kuih akok yang setanding dengan penjual di Kelantan," katanya sambil menambah beliau mengambil masa selama empat bulan untuk betul-betul mahir membuat kuih akok berkenaan.

Mohd Ridzuan mampu menjual kuih akok sebanyak tiga tong besar pada hari biasa malah sehingga 10 tong pada hujung minggu berikutan permintaan menggalakkan.

Kini Mohd Ridzuan boleh tersenyum puas apabila perniagaan kuih akok tradisional semakin mendapat tempat di mata masyarakat sekali gus mengubah kehidupan mereka sekeluarga.

"Saya patut berterima kasih kepada pakcik itu tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakannya, saya cuba mencarinya di tempat pertemuan kami dulu tetapi dia sudah tiada di situ.

"Kalau boleh saya memang hendak berjumpa dengannya dan mengucapkan terima kasih di atas pertolongannya yang cukup bermakna buat kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohamad Hamizan, 23, ketika ditemui berkongsi pengalaman ketika membantu orang tuanya di gerai usang itu. Ceritanya, pernah satu hari dapur untuk membakar akok itu roboh akibat angin yang terlalu kuat.

"Waktu tu ramai orang, keadaan jadi kelam kabut. Angin pula kuat. Tidak semena-mena dapur roboh dan berlaku kebakaran kecil. Mujur waktu itu kami sempat selamatkan adik-adik dan beberapa barangan berharga," katanya.