Dalam tempoh lima hari sahaja, sebanyak 11,624 saman dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan dalam operasi Op Selamat 11/2017 Aidilfitri bagi peringkat zon utara.

Sikap degil dan mementingkan diri sendiri selain ghairah menyambut kedatangan 1 Syawal sehinggakan terlupa wujud undang-undang lalulintas antara faktor yang menjurus pada sikap pesalah trafik ini.

Operasi ini berjaya dilaksanakan membabitkan sepasukan 35 pegawai dan anggota polis trafik dari Bukit Aman, Unit Peronda Lebuhraya tertumpu dari kawasan Tol Juru sehingga ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Superintendan Shahrum (kanan, berdiri) bersama anggota yang bertugas di Plaza Tol Juru.

OPERASI 24 JAM

Komander Operasi Sub-Tek Zon Utara, Superintendan Shahrum Hashim berkata, operasi diadakan yang dijalankan selama 24 jam sehari itu giat melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi melancarkan aliran trafik menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, dalam Op Selamat 11/2017 terbahagi kepada tiga negeri termasuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dimana pemeriksaan mendapati Kedah terus mencatatkan jumlah saman tertinggi iaitu 5,802 berbanding Pulau Pinang sekitar 5,092 dan Perlis sekitar 730 saman dikeluarkan.

Berdasarkan statistik pula mencatatkan kenaikan 38 peratus berbanding operasi yang sama pada tahun lalu hanya sekitar 8,420 saman dikeluarkan dan Kedah terus unggul dengan jumlah saman tertinggi iaitu 4,291 saman.

Katanya, sikap memandu kereta dengan laju mencatatkan 3,859 saman dikeluarkan termasuk mengunakan telefon bimbit semasa memandu mencatatkan jumlah kedua saman tertinggi dengan 139 saman.

"Bagi kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat (117 saman), memotong barisan (16), memandu di lorong kecemasan (14), memotong di garisan berkembar (6) dan 7,402 saman atas kesalahan lain-lain. Jumlah kemalangan keseluruhan di seluruh zon utara turut mencatatkan peningkatan iaitu 1,044 kes berbanding 997 kes pada tahun lalu.

"Pulau Pinang terus mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 645 kes diikuti Kedah (371) dan Perlis (28)," katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Peronda Lebuhraya dan Trafik Bukit Aman di Lebuhraya Utara Selatan dekat Juru, kelmarin.

Shahrum berkata, hasil operasi yang dijalankan pihaknya turut menyita lapan motosikal kerana disyaki terbabit dalam aktiviti lumba haram membabitkan remaja berusia 16 sehingga 26 tahun. Tindakan saman termasuk 10 orang dikesan memandu dalam keadaan mabuk di zon utara.

Anggota trafik yang bertugas pada Op Selamat 11/2017 berbuka puasa di kawasan Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Juru.

PEMANTAUAN DI KAWASAN R&R

Tambahnya, operasi pemantauan dan pemeriksaan diteruskan sehingga ke Perlis selain turut memastikan aliran trafik berjalan lancar di seluruh zon utara.

"Kita juga turut mendapat kerjasama dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk memantau kawasan rehat dan rawat (R&R).

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bagi mengelak berlaku kes kecurian dan pecah kereta berlaku serta samun ketika orang ramai sedang berehat," katanya.

Sehubungan itu, Shahrum menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan paling penting pemandu mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.