Kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda pada 30 April lalu mendakwa lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis berikutan kegagalan menguruskan hutang pinjaman memberikan pelbagai persepsi yang menakutkan.

Menurut Azih, penjawat awam terbabit didapati melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan yang melebihi kemampuan gaji mereka.

“Sekarang yang sudah diisytihar muflis lebih 3,000 orang, kalau tidak dibendung, jumlah itu akan bertambah," katanya.

Sebelum ini media pula melaporkan sebanyak 22,581 kes muflis direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi individu berumur 25 sehingga 34 tahun dari tempoh 2012 sehingga September pada tahun lalu. Sebanyak 22,153 daripada kes muflis tersebut melibatkan pinjaman peribadi manakala 18,819 kes adalah pinjaman perumahan.


CADANGAN MTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam satu kenyataan baru-baru ini mengemukakan cadangan yang agak radikal untuk menangani perkara ini iaitu meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi sifar kadar faedah oleh pihak bank kepada orang ramai.

Pinjaman perumahan dan peribadi sifar kadar faedah itu dicadangkan khusus untuk golongan pekerja dalam kategori pendapatan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40)

Setiausaha Agungnya, J.Solomon berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan itu berikutan kos sara hidup dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

"MTUC mahu Kementerian Kewangan menyeru semua bank agar berganding bahu dengan kerajaan dalam memenuhi agenda negara dan tanggungjawab sosial korporat bank.

"Pihak bank perlu menyediakan pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi sifar kadar faedah bagi pekerja-pekerja dalam kategori B40 dan M40. MTUC mengesyorkan pinjaman perumahan sehingga RM500,000 dan pinjaman peribadi 10 kali gaji asas bulanan.

"Pinjaman perumahan adalah untuk pemilikan rumah pertama dan pinjaman peribadi pula untuk digunakan sebagai kemudahan bayaran asas," katanya.

MTUC mengesyorkan pinjaman perumahan sehingga RM500,000 dan pinjaman peribadi 10 kali gaji asas bulanan.

PINJAM ALONG, SKIM CEPAT KAYA

Solomon berkata, mereka yang berpendapatan rendah berhadapan dengan masalah serius dalam memenuhi keperluan hidup gara-gara kos sara hidup meningkat.

Beliau melahirkan kebimbangan golongan terbabit terpaksa mendampingi 'along' untuk mendapatkan pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi sebagai jalan keluar daripada permasalahan tersebut.

Katanya, golongan terbabit berkemungkinan juga mengambil bahagian dalam skim cepat kaya yang seringkali membuatkan mereka tertipu sekali gus boleh memberi kesan sosial yang serius.


BUKAN PELABURAN SPEKULATIF

Solomon menambah, cadangan MTUC itu bagaimanapun bukan pelaburan spekulatif. Kerajaan diminta melanjutkan konsesi cukai kepada bank bagi menggalakkan mereka menawarkan kemudahan pinjaman sifar kadar faedah.

"Kami yakin usaha ini akan mendapat sambutan positif daripada pihak bank. Langkah ini apabila dilaksanakan akan mengatasi masalah sosial dan kekecewaan yang boleh membawa kepada kesan-kesan sosial yang lain.

"Kami juga yakin kemudahan ini akan membolehkan golongan yang berpendapatan rendah membina kehidupan yang berkualiti untuk diri mereka dan juga keluarga masing-masing," katanya.