Skip to main content

Market Trends

Polis Agresif Banteras Judi Atas Talian Mula Berkurangan

judi.jpg

Polis Johor terus membanteras kegiatan mesin perjudian di negeri itu apabila melakukan 388 serbuan di seluruh daerah dalam operasi yang dijalankan bermula awal tahun ini sehingga 10 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam serbuan itu polis turut menahan seramai 2,348 orang membabitkan warga tempatan dan warga asing berumur antara 17 hingga 64 tahun.

Advertisement

Tambahnya, serbuan tersebut dijalankan polis di seluruh Johor dan daripada jumlah tangkapan itu, seramai 413 disyaki penjaga premis dan penahanan itu turut melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Vietnam. Jumlah individu disyaki pemain mesin judi tersebut yang ditahan ialah seramai 1,935 orang turut membabitkan warga Indonesia, Nepal, Thailand, Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Singapura.

Katanya, serbuan juga dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan barangan yang telah dirampas adalah melibatkan 316 tab, komputer (2,835), komputer riba (4,032) dan wang tunai berjumlah RM159,995.

"Sehingga kini, operasi dijalankan secara agresif oleh polis yang turut menampakkan hasil apabila perjudian secara atas talian juga telah berkurangan. Namun demikian, masih ada yang cuba menjalankan operasi perjudian secara curi-curi pada lewat malam," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, semalam.

Mohon kerjasama orang ramai

Menurut Kamarul Zaman, kes tersebut disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan turut berharap orang ramai akan terus membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat bagi membanteras kegiatan itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan perjudian ini segera melaporkan kepada polis dan kita akan pastikan setiap maklumat akan disiasat bagi membolehkan tindakan tegas diambil seterusnya di bawa ke muka pengadilan," katanya.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video