Melancong ke Thailand sudah menjadi kebiasaan pada masyarakat di negara ini sama ada menerusi pengangkutan udara mahupun darat.

Bagaimanapun, ramai yang masih keliru, tidak sedar atau mungkin tidak tahu sejak 20 tahun lalu setiap pelawat dari Malaysia perlu memasukkan RM2 atau 16 bhat di dalam pasport mereka sebelum menunjukkan dokumen itu kepada pihak polis Imigresen Thailand untuk di cop.

Tradisi turun menurun itu akhirnya tamat apabila pihak Imigresen Thailand mengarahkan penamatan menerima 'duit kopi' di sempadan Sadao daripada pelancong yang tiba dari Malaysia berkuatkuasa Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis Imigresen Thailand, Natthathorn Prohsunthorn yang tiba di sempadan itu selepas menerima aduan pelancong Malaysia mengenai isu tersebut turut mengarahkan setiap pekerjanya tidak lagi mengambil 'duit kopi' dan bersumpah akan menghukum mereka yang melanggar arahannya.

Menurutnya, bayaran itu sah jika pelancong tiba bukan waktu pejabat iaitu antara jam 6 pagi, 9 pagi, 6 petang dan 11 malam manakala Kementerian Dalam Negeri Thailand menetapkan kadar bayaran kerja lebih masa pada kakitangan imigresen terbabit.

Tambahnya, peraturan pembayaran tambahan itu kekal melainkan perubahan di peringkat kementerian. Namun, wujud segelintir pegawai imigresen negara itu yang menuntut bayaran tersebut ketika waktu pejabat.


'DUIT KOPI' CECAH SEHINGGA RM12,000 SEHARI

Papan tanda besar diletakkan di kaunter pemeriksaan di pintu sempadan menyatakan 'tiada bayaran dikenakan apabila melalui sempadan pada waktu pejabat'.

Dianggarkan kira-kira 5,000 orang memasuki Sadao setiap hari dan 'duit kopi' yang diterima antara 80,000 sehingga 100,000 baht (RM10,104 – RM12,630) sehari, seperti dilaporkan Bangkok Post.

Sementara itu, pihak imigresen Thailand mengarahkan enam pegawainya dipindahkan dari sempadan Sadao ke Biro Imigresen 6, Songkla sementara menunggu siasatan atas isu 'duit kopi'. Ada antara mereka meminta pemindahan itu secara sukarela.

Menurut sumber memberitahu Rojak Daily Skop!, 'duit kopi' yang dimasukkan dalam pasport Malaysia ketika memasuki Thailand dari Malaysia merupakan amalan biasa yang dilakukan selama dua dekad. Ia menjadi tradisi dalam kalangan pelancong yang kerap memasuki Thailand serta penduduk negara jiran itu yang bekerja di sini dengan kadar cop visa satu bulan adalah RM10 atau 79 bhat.