Pada tahun 1994, Syarikat Apple Inc. (Apple) mewujudkan program khas 'Apple Distinguished Educators' (ADE) bagi mengiktiraf golongan pendidik termasuk guru dan pensyarah di seluruh dunia yang cenderung kepada dunia teknologi pendidikan.

ADE diketahui umum sebagai sebuah anugerah berprestij dunia bagi mengiktiraf pendidik yang menggunakan teknologi dalam mentransformasikan pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi.

Mereka yang menerimanya akan dianggap oleh syarikat teknologi gergasi itu sebagai warga pendidik yang dapat membantu pendidik lain dalam mencapai hasrat mengubah dunia pendidikan supaya seiring dengan perkembangan teknologi.

Dr Nurulfajar (dua dari kiri) menjadi pensyarah ketiga dari UTeM yang berjaya meraih anugerah beprestij daripada Apple.

SYARAT TERIMA ANUGERAH ADE

Proses penilaian untuk menerima anugerah ADE bukanlah satu perkara yang mudah kerana setiap calon perlu menghasilkan portfolio dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk gambar, video, sesi perkongsian dan sebagainya.

Video menjadi salah satu kriteria utama panel Apple untuk mengenal pasti kehebatan dan bagaimana calon yang dipilih mampu untuk meneruskan legasi di dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi.

Dilaporkan, setiap tahun ribuan pemohon dalam kalangan guru dan pensyarah dari seluruh dunia diterima untuk pencalonan anugerah ADE.


LAYAKKAH PENSYARAH MALAYSIA?

Jangan terperanjat, hakikatnya dua pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pernah berjaya menerima anugerah berprestij daripada Apple itu pada tahun 2015.

Mereka ialah Prof Madya Dr Azma Putra daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Loi Wei Sen yang merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Pada tahun ini pula, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap menerima anugerah ADE di Melbourne, Australia baru-baru ini.

Mengulas pencapaian itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Datuk Dr Mohd. Razali Muhamad melahirkan rasa gembira beliau di atas kejayaan akademia UTeM meraih anugerah bertaraf dunia tersebut.

"Kejayaan demi kejayaan ini membuktikan UTeM selaku universiti awam teknikal berprestij yang mengamalkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang bertaraf dunia dan terkehadapan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa dunia," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Kejayaan Dr Nurulfajar membuktikan UTeM selaku universiti awam teknikal berprestij yang mengamalkan konsep pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia.

BAGAIMANA DR NURULFAJAR BOLEH MENANG?

Nurulfajar yang mengulas kemenangannya itu menyatakan beliau begitu terharu dan berterima kasih kepada pihak Apple kerana menghargai dan mengiktiraf sumbangannya dalam bidang akademik menerusi konsep pengajaran berteknologi terkini menerusi aplikasi Apple.

Menurutnya, dalam proses penilaian pengiktirafan Akademi ADE 2017, terdapat enam calon sahaja dari Malaysia yang terpilih dibandingkan dengan ribuan pemohon dari seluruh dunia termasuk beliau yang mewakili institut pengajian tinggi negara ini

“Saya berkongsi hasil berkenaan dalam bentuk buku interaktif iaitu iBook dan juga modul kursus yang dihasilkan dalam iTunes U malah perlu menampilkan diri dalam media sosial yang berbentuk perkongsian ilmu yang mampu menarik minat melalui Twitter, Facebook atau Instagram.

Menggunakan medium Twitter untuk berkongsi tren penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di samping menghasilkan video dua minit yang menghimpunkan segala sumbangan dan kepakaran bagi melayakkan saya sebagai ADE," jelasnya.

Rentetan kejayaan itu, beliau turut dilantik Apple sebagai 'Apple Certified Accredited Educator' atau juga dikenali sebagai 'Apple Professional Development' (APD) iaitu jurulatih bertauliah untuk memberikan sesi konsultansi kepada semua institusi di dalam dan luar negara berkaitan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi Apple.