Menerusi pengaruh Internet dan bidang digital yang semakin berkembang ke atas kehidupan seharian masyarakat pada masa kini, ia menjadi semakin sukar untuk mengenal pasti kesahihan sebuah berita atau cerita. Apa saja maklumat boleh diakses menerusi telefon pintar dan ia tidak hanya terhad pada pengguna dewasa tetapi sesiapa saja boleh menerimanya.

Menyedari bahawa kegiatan penyebaran fitnah dan penularan berita palsu yang semakin berleluasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bertindak menutup hampir 2,000 akaun media sosial palsu semenjak Januari lalu.

.
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, daripada jumlah tersebut, hanya 75 peratus dikenakan tindakan dan selebihnya masih lagi dalam siasatan.

“Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan Internet amnya.

"Untuk tindakan penutupan akaun, akaun-akaun palsu akan dilaporkan kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial yang kebanyakannya berada di luar negara seperti Facebook dan Twitter berdasarkan pelanggaran terma dan syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Ahli Parlimen Sabak Bernam) mengenai bilangan akaun-akaun media sosial palsu yang telah disiasat dan dikenal pasti serta apakah tindakan penguatkuasaan serta undang-undang yang telah diambil untuk mengekang gejala penyebaran berita palsu dan fitnah.


ORANG AWAM BOLEH BUAT ADUAN

Tambahnya, sejak Januari 2016 sehingga Jun 2017, sebanyak 221 kes yang melibatkan media baharu termasuk media sosial disiasat dan 19 kes dikenakan kompaun manakala 5 kes lagi didakwa serta disabitkan kesalahan berkaitan fitnah dan hasutan.

Kesalahan tersebut adalah tertakluk di bawah Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Orang awam boleh membuat aduan dan laporan menggunakan saluran sedia ada melalui aplikasi WhatsApp, SMS (sistem pesanan ringkas), e-mel, telefon atau hadir sendiri ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," ujarnya lagi.