Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diconggak akan berlangsung pada tahun ini turut memberi impak terhadap kredibiliti pemimpin yang dipilih akan bertanding dan seterusnya menerajui kepimpinan selepas pilihan raya iaitu bebas rasuah.

Ini berikutan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran akan mengheret pemimpin yang terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa meskipun individu itu menang dalam PRU14 nanti.

Peringatan SPRM itu juga menjurus pada parti politik yang bertanding pada PRU14 agar tidak meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana SPRM boleh menyiasat calon sekiranya diminta berbuat demikian. Malah, calon yang dipilih juga akan dipastikan SPRM untuk disiasat rekod individu tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata pada Utusan Online, tindakan SPRM ini tidak mengira parti politik kerana calon itu dilantik sebagai wakil rakyat dan tidak boleh mengkhianati rakyat.

Tambahnya, SPRM sudah memulakan siasatan membabitkan ahli politik termasuk kes berprofil tinggi tetapi hasil siasatan itu tidak didedahkan dahulu. SPRM kini mempunyai 1,900 pegawai penguatkuasa manakala terdapat 1.6 juta penjawat awam untuk diawasi.