Aktiviti menghendap atau 'stalking' di media sosial mungkin dianggap perkara biasa yang berlaku dalam kalangan pengguna dan secara dasarnya ia sukar dibendung perbuatan tersebut kerana tiada peruntukan undang-undang secara khusus.

Namun, perkara sedemikian tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan memuat naik status di media sosial dengan niat menghina atau membangkitkan sensitiviti kaum boleh ditahan di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Begitu juga, Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik baru-baru ini menggesa supaya perlakuan itu dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah. Mereka membangkitkan perkara itu semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada minggu lalu.


MENGHENDAP ADALAH SATU JENAYAH

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto, setakat ini belum ada undang-undang yang menyentuh tentang kesalahan menghendap individu lain di media sosial di negara ini.

“Kita perlu memasukkan 'stalking' sebagai satu kesalahan jenayah dalam Akta Keganasan Rumah Tangga dan juga Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, terdapat banyak kes di mana penjenayah menggunakan akaun media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Wechat untuk menghendap dan mengganggu mangsa.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pula menyatakan media sosial dilaporkan sering digunakan oleh seorang lelaki untuk menghendap bekas isterinya bertujuan menakutkan dan mengugut bekas isterinya.

"Undang-undang bukan sahaja perlu mencegah perlakuan menghendap oleh pendera tetapi juga perlu menghalang perlakuan menghendap oleh pihak ketiga yang membantu pendera," kata Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang.

Perlakuan menghendap diiktiraf sebagai satu kesalahan jenayah di bawah pelbagai sistem perundangan termasuk di Singapura, India, Filipina, Jepun dan juga United Kingdom.


NGO SOKONG PANDANGAN AHLI PARLIMEN

Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Carol Chin dalam satu kenyataan menyatakan sokongan penuh ke atas pandangan Ahli Parlimen terbabit. Beliau menekankan faktor kemudaratan yang boleh berlaku akibat daripada perbuatan menghendap di media sosial.

“Perlakuan menghendap sering mengakibatkan keganasan yang dahsyat. Sembilan daripada 10 wanita yang dibunuh oleh pasangan dilaporkan dihendap oleh pelaku terlebih dahulu.

“Mangsa 'stalking' sering kali gagal mendapat perlindungan. Dalam kebanyakan kes, pihak polis hanya boleh mengambil tindakan selepas si penghendap mencederakan mangsa.

“Malaysia perlu memperkukuhkan sistem perundangan yang sedia ada bagi membolehkan pihak berkuasa menghalang si penghendap daripada mengancam keselamatan mangsa dari awal lagi," katanya.


APA KATA MENTERI?

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim bersetuju perlakuan menghendap perlu ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah dalam Kanun Keseksaan terlebih dahulu sebelum boleh dimasukkan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga.

Beliau memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa KPWKM sedang meneliti cadangan menjadikan perlakuan hendapan sebagai satu kesalahan jenayah.

Kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan perbuatan 'stalking' yang dihujahkan oleh pelbagai pihak dan akan mempertimbangkan supaya ia dijadikan suatu kesalahan jenayah di masa akan datang,” ujarnya semasa sesi penggulungan perbahasan berkenaan.

Tegasnya, sememangnya menjadi hasrat beliau untuk menjadikan perlakuan menghendap sebagai satu kesalahan jenayah khusus dan merancang untuk melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis-aktivis untuk mencapai matlamat tersebut.