Langkah Kementerian Kesihatan menganjurkan Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) Remaja Kebangsaan 2017 dengan tema “Hargai Diri, Amalkan Gaya Hidup Sihat” bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos depan dikritik aktivis transgender luar negara seperti dilaporkan satu agensi media antarabangsa.

Aktivis transgender terbabit tersinggung dengan tajuk ketiga dalam pertandingan itu mengenai ‘kecelaruan gender’ dan berpendapat ia akan menggalakkan diskriminasi, kebencian dan keganasan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun mempunyai sebab konkrit menganjurkan pertandingan tersebut seperti mana dijelaskan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman. Jelasnya, tajuk itu dipilih kerana statistik menunjukkan terdapat peningkatan masalah kesihatan berkaitan seksual dan reproduktif remaja di Malaysia.

Menurutnya, Kajian Populasi dan Keluarga Malaysia menunjukkan budaya remaja terjebak dalam aktiviti seks sebelum nikah meningkat daripada 0.9 peratus pada tahun 1994 kepada 2.2 peratus pada tahun 2004 dan 4.8 peratus pada 2014. Global School Health Survey (2012) pula menyatakan dalam kalangan murid sekolah berusia antara 13 sehingga 17 tahun menunjukkan 8.3 peratus remaja pernah melakukan hubungan seks di mana 50.4 peratus telah melakukan seks pertama kali sebelum usia 14 tahun.

Tegasnya, amalan seks tidak selamat boleh mengundang penyakit berjangkit akibat seks seperti HIV. Tinjauan HIV Kebangsaan mendapati kadar notifikasi HIV dalam kalangan remaja berusia antara 13 sehingga 19 tahun bertambah daripada 1.97 setiap 100,000 populasi remaja pada tahun 2013 kepada 2.25 per 100,000 populasi remaja pada tahun 2015.

"Tinjauan ini juga menunjukkan peningkatan yang signifikan peratus jangkitan HIV dalam kalangan pengamal homoseks di Malaysia dari lapan peratus pada tahun 2010 kepada 46 peratus pada tahun 2016.

"Dapatan kajian ‘Integrated Bio-Behavioral Surveillance’ (IBBS) antara tahun 2012 dan 2014 membuktikan kadar jangkitan dalam kunci populasi akibat hubungan seks lelaki dengan lelaki meningkat 7.1 kepada 8.9 peratus, meningkat 4.8 kepada 5.6 peratus bagi transgender dan 4.6 peratus kepada 7.3 peratus bagi pelacur wanita.

"Bukti-bukti saintifik dalam dan luar negara jelas menunjukkan risiko peningkatan jangkitan HIV berkait rapat dengan amalan seksual dan reproduktif yang tidak sihat. Namun, perkara ini boleh dibendung melalui intervensi pencegahan dan promosi gaya hidup sihat," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan berharap Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) Remaja Kebangsaan 2017 dengan tema 'Hargai Diri, Amalkan Gaya Hidup Sihat' dapat memperkasa golongan remaja dalam membuat keputusan dan pilihan yang bijak mengenai SRH mereka.

Malah, Konvesyen Hak Kanak-Kanak (CRC) menetapkan kanak-kanak dan remaja mempunyai hak untuk mendapat maklumat yang tepat dan sesuai dengan peringkat umur.

"Kesimpulannya, pertandingan ini tidak sama sekali bertujuan mendiskriminasi mana-mana kumpulan dan tidak bertentangan dengan hak asasi manusia. Malah, iamenunjukkan keprihatinan Kementerian Kesihatan terhadap perkara berkaitan SRH dalam kalangan remaja," ujarnya.