Skop
Tak Perlu Telan Pil Bagai, Amalkan 5 Petua Ini Untuk Kekal Sihat
Makanan berminyak, berlemak serta lambakan jenis manisan di pasaran menjadi petanda awal dunia bakal kehilangan spesis manusia dalam tempoh lebih cepat. Mungkin kedengaran sungguh kasar tetapi ia hanya kiasan kepada kesan buruk mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.
Jika dahulu usia 80 tahun masih mampu menggembleng tenaga melakukan kerja berat, kini seawal 50-an kita didatangi pelbagai penyakit kronik.
Percaya atau tidak di Batu Pahat terdapat seorang wanita berusia 118 tahun. Perkara ini disahkan sendiri oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Lebih mengagumkan wanita ini tidak pernah sekali seumur hidupnya mengambil ubat ubatan dari farmasi atau klinik. Rahsianya adalah menggunakan petua orang dulu-dulu yang memanfaat sepenuhnya tanaman dan herba di sekeliling rumah mereka.
Nak tahu apa makanan berkhasiat yang diamalkan nenek ini? Ini dia 5 petua yang patut anda amalkan:
1. Daun Sirih
Bagi mereka yang sering mengalami masalah penglihatan yang kabur dan penat boleh cuba menggunakan daun sirih sebagai penawar. Caranya mudah hanya merebus daun sirih itu lalu diletakkan di sekitar mata. Tidak perlu tekap, hanya mengambil wap haba dikeluarkan sirih itu untuk menyegarkan mata yang kuyu dan lesu.
2. Pucuk Jambu
Mungkin ramai tak tahu khasiat pucuk jambu boleh merawat sakit perut. Caranya, pucuk jambu direbus lalu dimakan bersama sedikit garam. Pucuk jambu sememangnya melegakan ketidakselsesan dalam perut.
3. Lempoyang
Jika anda hilang selera makan, apa kata mencuba lempoyang. Khasiat tumbuhan ini dikatakan sangat bagus mengembalikan deria makan. Apa yang perlu dilakukan adalah merebus lempoyang, lalu minum sebagai minuman tambahan yang mengembalikan semula selera anda.
4. Air beras
Kebanyakan kita beranggapan air beras hanya dibuang begitu saja. Namun, badan boleh menjadi semakin sihat dengan mengamalkan air beras yang sudah ditumbuk dan digoreng. Hanya perlu mengambil segenggam beras lalu digoreng sehingga naik bau garing dan seterusnya ditumbuk hancur. Beras yang ditumbuk itu digaul bersama air suam. Tidak perlu lagi minum di luar air beras yang mahal-mahal.
5. Sayur bening
Resipi makanan yang terakhir adalah menu hidangan yang mudah dimasak di rumah iaitu sayur bening. Sayur bening adalah sejenis hidangan kuah berasaskan sayur seperti bayam serta campuran sayur yang lain. Hanya memerlukan bawang merah dan putih sebagai rencah, resipi ini sangat menyihatkan. Golongan muda yang mahu kekal sihat harus mengamalkan makan seperti ini kerana lebih berkhasiat.
MASIH BERTENAGA
Ia suatu yang menakjubkan apabila seorang wanita berusia 118 tahun bukan saja mempunyai ingatan yang masih kuat tetapi matanya juga masih mampu membaca ayat suci al-Quran.
Menurutnya, selain daripada menjaga pemakanan, amalan berzikir tidak lekang dari mulutnya setiap kali ada masa terluang. Membaca dan menghafal ayat suci itu bukan saja menenangkan dirinya tetapi menajamkan pemikiran dan ingatannya.
Wanita tersebut iaitu Yati Musdi dilahirkan pada 27 April 1899 dan kini menetap bersama anaknya di Kampung Parit Haji Noor, Sri Medan, Batu Pahat. Jika dilihat pada kad pengenalannya, Yati berkemungkinan menjadi wanita tertua di Asia mahupun dunia.
Cucunya, Mohd Ajma'in Mos, 44 ketika dihubungi Rojak Daily Skop! menyatakan kesihatan ibunya itu masih dalam keadaan baik. Malah, beliau tidak menghidap sebarang penyakit sebaliknya hanya mengalami sedikit masalah pendengaran.
“Cuma dia kini perlu memakai lampin pada waktu malam kerana kerap membuang air kecil,” katanya.
Must-Watch Video