Demi habuan wang ringgit dan ingin cepat kaya, pelbagai cara digunakan untuk menipu orang ramai termasuk menyamar sebagai pegawai polis dan pengawai bank.
Taktik ini mungkin dianggap lama tetapi percaya atau tidak sejak Febuari lalu sehingga ke hari ini lebih 80 laporan polis dibuat mangsa membabitkan kerugian lebih RM2.746 juta.
Advertisement
Sindiket Macau Scam atau Op Pelican akhirnya berjaya ditumpaskan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada 1 Julai lalu apabila berjaya menahan 50 orang termasuk tiga wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Damai Utama, Puchong Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad berkata, dalam serbuan itu ke semua suspek berusia antara 17 sehingga 42 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Lebih menarik lagi intipan selama sebulan akhirnya berjaya membongkar modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan untuk menipu orang ramai.
Apa yang mengejutkan lokasi operasi mereka terletak jauh di luar negara seperti Jepun, Kemboja dan Thailand sebagai helah dan Malaysia dijadikan markas penipuan.

MODUS OPERANDI PERDAYA MANGSA
Abdul Ghani berkata, taktik licik bermula dengan menyamar sebagai pegawai polis dan bank serta menghubungi mangsa kononnya nama dan butiran diri telah digunakan untuk membuat kad kredit.
Beliau berkata, mangsa akan menafikan menggunakan kad kredit dan suspek akan menyambung talian ke Bank Negara Malaysia sebagai helah.
"Apabila mangsa menghubungi nombor pegawai bank yang di beri suspek akan mengarahkan mangsa membuat pindaan wang tunai ke akaun lain untuk tujuan keselamatan dan akan mengembalikan wang semula dalam tempoh tujuh hari.
"Suspek kemudian menghilangkan diri dan mangsa akan gagal menghubungi suspek selain mengesyaki bahawa mereka sudah ditipu," katanya dalam sidang media di IPK Pulau Pinang, semalam.
Abdul Ghani berkata, hasil serbuan yang dilakukan lima telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, fail dan beberapa salinan pasport di rampas.
"Turut dirampas 31 pasport atas pelbagai nama dan hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Febuari lalu membabitkan nilai RM2.746 juta apabila 82 laporan polis diterima.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan ke semua mereka yang ditahan kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu. Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau tidak melebihi 10 tahun atau denda," katanya.
Polis dalam pada itu memberi nasihat pada orang ramai agar tidak mudah terpedaya atau percaya dengan mudah memberi segala butiran diri kepada individu yang tidak dikenali.