Usia bukan penghalang buat mereka untuk menarik semangat anak-anak muda yang meminati sukan pemotoran untuk pergi mengembara tidak kira sama ada dalam negara atau luar negara.

Inilah yang cuba dilakukan tiga sahabat mewakili pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India mengejar satu impian dan membuktikan setiakawan 1Malaysia serta semangat 'Malaysia Boleh' berjaya menawan Sri Lanka baru-baru ini.

Perjalanan selama 14 hari ini ditempuhi Datuk P Nadarajan, 55, Mohamad Adib Mohd Yusop, 32 dan Keith Andrew Scully, 43, yang masing-masing memiliki pengalaman dalam bidang pemotoran antara enam sehingga 30 tahun bersama menjayakan misi ini.


KEMBARA DUA RODA

Keith (kanan), Adib (kiri) dan Nanda berjaya sampai di puncak paling utara Sri Lanka semasa Colombo Bike Week baru-baru ini.


Menurut Keith, kembara ini adalah sebuah perjalanan tiga sahabat, tiga bangsa dan misi semangat 1Malaysia ke Sri Lanka bersempena Colombo Bike Week 2017 dimana ia terbuka kepada semua penunggang motosikal tidak kira warga tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, program ini dianjurkan sebuah persatuan motosikal berkuasa tinggi di Sri Lanka dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan pelancongan untuk menarik minat pengembara dua roda dan mempromosikan pelancongan tempatan di negara itu.

"Saya tidak sangka kami dapat bersama dalam program ini dan lebih mengembirakan, program ekspedisi ini turut bersama rakan-rakan dari Global Bikers United dari pelbagai negara.

"Bermulah dari situ misi jelajah dan kembara Sri Lanka bermula dan secara tidak langsung membuktikan bahawa tidak mustahil bagi kami yang berbeza bangsa dan agama dapat bersama menjayakan program ini," katanya.

Bagi P Nadarajan atau lebih mesra disapa Nanda yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun menceritakan inilah pengalaman pertama mereka menjejakkan kaki ke Sri Lanka dan pelbagai cabaran yang dihadapi antaranya ialah perbezaan budaya dan adat resam.

"Kami berkonvoi tanpa menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) kerana kesukaran data Internet yang rendah selain kawasan pendalaman tidak mempunyai hubungan talian telekomunikasi.

"Bukan itu sahaja, kami berdepan cabaran apabila salah seorang sahabat turut terjatuh semasa mengambil selekoh tajam di kawasan berbukit dan seorang lagi mengalami kerosakan teknikal motosikalnya," katanya.


KONGSI KENANGAN TERINDAH

Tiga sahabat bergambar dengan peserta lain dan anggota polis Sri Lanka yang membantu menjayakan kembara Colombo Bike Week di Sri Lanka, baru-baru ini.


Sementara itu, Mohd Adib menambah sepanjang perjalanan 14 hari mengelilingi kepulauan Sri Lanka banyak kenangan terindah diperolehi termasuk melawat beberapa tempat menarik sekitar Negombo Lagoon.

Tambahnya, pengalaman pertama melalui persisiran laut Puttalam - Mannar sehingga tiba di Jaffnar. Malah, mereka juga tidak melepaskan peluang singgah di Adam's Bridge dan titik paling utara iaitu di Point Pedro.

"Kami juga melalui Lebuhraya Elephant pass dan sempat singgah di Lion's Rock di Sigiriya dan berehat di kawasan timur Sri Lanka iaitu di Passikudah sebelum meneruskan perjalanan ke Timur Sri Lanka melalui Taman Negara Maduru Oya dan Kandy.

"Pengalaman melalui kawasan pengunungan Nuwara Eliya termasuk Taman Negara Udalawalawe sebelum ke Udalawalawe dan Fisherman Bay,Waligama dan bandar Colombo sendiri.

"Apa yang cuba dibuktikan jika anda ada minat pasti segalanya akan diperolehi dengan kejayaan dan lebih menarik lagi, kekuatan mental dan fizikal perlu ada dalam diri seorang bikers yang kental," katanya.