Masalah gelandangan dan kutu rayau terus menjadi isu utama di seluruh negara biarpun pelbagai usaha dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk melaksanakan operasi membanteras gejala ini dari terus berleluasa.

Ironinya pelbagai punca dikesan antara penyebab golongan ini menjadikan lorong-lorong kedai, hentian bas, tepi longkang sebagai 'port' atau rumah sementara mereka selain ada menagih simpati orang ramai membantu menghulurkan sumbangan wang dan makanan.

Di Pulau Pinang, masalah ini terus menjadi tumpuan apabila pihak JKM Pulau Pinang secara terus menerus melaksanakan pelbagai operasi pada setiap minggu dan bulanan untuk menyelamatkan mereka.

Faktor ketiadaan rumah, dibuang keluarga, menghidap penyakit berjangkit, tiada pekerjaan, warga emas, masalah mental, penagihan arak dan sebagainya antara punca-punca yang sering kali dikesan.

Golongan warga emas antara gelandangan yang diselamatkan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

OPERASI UNTUK MENYELAMAT

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perudangan dan Penguatkuasaan JKM Pulau Pinang, Haslinda Abdul Hamid berkata, berdasarkan startistik sepanjang tempoh Januari sehingga Jun lalu, 185 operasi berjadual dan AdHoc serta 14 operasi bersepadu dijalankan di seluruh negeri.

Menurutnya, seramai 333 orang berusia antara 25 sehingga 70-an berjaya diselamatkan dan kesemua mereka telah menjalani dokumentasi untuk mengenalpasti identiti mereka.

Dalam operasi yang diadakan pada 20 Julai lalu, 16 orang lelaki dan wanita yang dipercayai gelandangan dan kutu rayau berjaya diselamatkan dalam operasi di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

"Dalam pemeriksaan itu, ada beberapa individu yang dipercayai gelandangan dan kutu rayau ditemui tidur dikawasan kali lima Komtar, hentian teksi dan kaki lima premis perniagaan.

"Lebih mengejutkan ada di antara mereka mengaku diri mereka kurang waras, tiada rumah, tunggu kawan dan pelbagai lagi alasan yang tidak munasabah untuk melepaskan diri.

"Apa juga alasan yang diberikan mereka, semua yang ditahan itu dibawa ke Pejabat JKM Daerah Timur Laut untuk tujuan dokumentasi.

"Bagaimanapun, ada yang mengaku diri mereka kurang waras sedangkan hakikat sebenarnya tidak malah ada yang kelihatan cukup sifat dan sihat tubuh badan tetapi memilih menjadi gelandangan menagih simpati orang ramai," katanya ketika ditemui Skop Rojak Daily.

Haslinda berkata, pihak JKM negeri akan meneruskan operasi dari masa ke semasa bagi memantau kegiatan gelendangan dan kutu rayau di seluruh negeri.

Berdasarkan rekod individu dipercayai gelandangan yang diselamatkan JKM, kebanyakan mereka mempunyai alasan yang sama untuk memilih menjadi gelandangan iaitu:
  1. tiada pekerjaan
  2. berpendapatan rendah
  3. miskin
  4. tua
  5. penagih dadah
  6. diabaikan keluarga
  7. masalah mental
  8. sakit melarat
  9. tiada tempat tinggal
  10. bekas banduan
  11. lari dari rumah
  12. warga asing
  13. kemurungan
  14. ketagihan arak