Skip to main content

Sukan

Pernah Harumkan Nama Negara, Ini 7 Figura Sukan Malaysia Yang Pernah Mencipta Sejarah Di Pentas Dunia

Pernah Harumkan Nama Negara, Ini 7 Figura Sukan Malaysia Yang Pernah Mencipta Sejarah Di Pentas Dunia

Sekilas

  • Malaysia telah melahirkan tujuh figura sukan hebat dari pelbagai latar belakang yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia.
  • Antaranya termasuk Datuk Azizulhasni Awang, juara dunia basikal trek, Datuk Nicol David, ratu skuasy dunia, dan Datuk Lee Chong Wei, jaguh badminton dengan tiga pingat perak Olimpik.
  • Selain itu, Cheah Liek Hou, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Lim Hung, dan Karamjit Singh turut mencipta sejarah dalam sukan masing-masing, membuktikan kejayaan tidak mengenal batasan.
Advertisement

Tidak perlu memiliki populasi ratusan juta orang atau kemudahan sukan paling canggih untuk melahirkan seorang juara dunia.

Malaysia mungkin kecil pada pandangan peta, namun berkali-kali membuktikan bahawa anak kelahirannya mampu berdiri sama tinggi, bahkan mengatasi atlet dari negara kuasa besar sukan.

Advertisement

Ada yang mengayuh basikal sehingga digelar Pocket Rocketman, menguasai gelanggang skuasy hampir sedekad, meraih pingat Olimpik, menyelesaikan kiub Rubik menggunakan kaki, malah ‘terbang’ di atas laluan rali paling mencabar di dunia.

Mereka hadir daripada latar belakang dan cabang sukan berbeza, namun berkongsi satu persamaan iaitu keberanian membawa Jalur Gemilang ke pentas tertinggi.

Berikut tujuh figura sukan negara yang membuktikan bahawa nama Malaysia bukan sekadar pelengkap pertandingan antarabangsa.

1.⁠ ⁠Datuk Azizulhasni Awang – ‘Pocket Rocketman’ kebanggaan negara

vgb

Tubuhnya mungkin lebih kecil berbanding kebanyakan pelumba trek dunia, namun Datuk Azizulhasni Awang membuktikan saiz fizikal bukan ukuran sebenar seorang juara.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mencipta sejarah sebagai pelumba basikal pertama negara memenangi pingat Olimpik menerusi gangsa acara keirin pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Dia kemudian memperbaiki pencapaian tersebut dengan membawa pulang pingat perak pada Olimpik Tokyo 2020.

Pencapaian paling membanggakan hadir pada 2017 apabila Azizulhasni menjuarai acara keirin pada Kejohanan Dunia Trek UCI, di Hong Kong menjadi pelumba Malaysia pertama menyarung jersi pelangi yang dikhaskan buat juara dunia.

Perjalanannya juga bukan sentiasa indah. Azizulhasni pernah berdepan kecederaan serius dan menjalani pembedahan jantung, namun kembali berlumba pada tahap tertinggi.

Semangat tersebut menjadikan namanya lebih daripada sekadar pemenang pingat, sebaliknya lambang keberanian untuk terus bangkit setiap kali diuji.

2.⁠ ⁠Datuk Nicol David – Ratu skuasy negara

gb

Sebelum Malaysia mempunyai banyak figura sukan bertaraf antarabangsa, Datuk Nicol David sudah terlebih dahulu membuatkan dunia mengenali negara ini.

Legenda kelahiran Pulau Pinang itu menguasai ranking nombor satu dunia selama 108 bulan berturut-turut, sebuah rekod yang menggambarkan betapa dominannya beliau dalam arena skuasy wanita.

Nicol turut memenangi gelaran dunia sebanyak lapan kali antara 2005 hingga 2014, sekali gus menempatkannya dalam kelompok pemain terhebat sepanjang zaman.

Apa yang menjadikan Nicol luar biasa bukan sekadar jumlah trofi, tetapi konsistensinya mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi selama bertahun-tahun.

Ketika skuasy masih berusaha mendapatkan tempat dalam program Olimpik, Nicol sudah menjadikan setiap kejohanan dunia sebagai ‘pentas Olimpik’ untuk mengharumkan nama Malaysia.

Beliau membuktikan seorang atlet tidak perlu bersikap lantang untuk digeruni. Cukup dengan disiplin, fokus dan ketenangan setiap kali memasuki gelanggang.

3.⁠ ⁠Datuk Lee Chong Wei – Tiga perak Olimpik, satu nama abadi

fgh

Mungkin ada yang melihat kerjaya Datuk Lee Chong Wei menerusi pingat emas Olimpik yang tidak pernah berjaya dimilikinya.

Namun, mengukur keseluruhan legasi jaguh badminton itu berdasarkan satu warna pingat semata-mata adalah sesuatu yang tidak adil.

Chong Wei mara ke final perseorangan lelaki dalam tiga edisi Olimpik berturut-turut iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 sebelum membawa pulang tiga pingat perak.

Beliau turut berada di kedudukan nombor satu dunia selama 348 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut, selain mengumpul 69 gelaran sepanjang kerjayanya.

Selama hampir dua dekad, rakyat Malaysia sanggup berjaga malam, berhenti melakukan kerja dan berkumpul di restoran mamak hanya untuk menyaksikan Chong Wei beraksi.

Kejayaannya tidak hanya boleh dihitung menerusi trofi, tetapi melalui kemampuannya menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang setiap kali melangkah ke gelanggang.

4.⁠ ⁠Cheah Liek Hou – Raja para badminton dunia

fvdf

Sumber foto: Utusan

Kisah kejayaan Cheah Liek Hou pula membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk seseorang menguasai dunia.

Jaguh para badminton negara itu mencipta sejarah pada Paralimpik Tokyo 2020 apabila menjadi pemenang pingat emas pertama dalam sejarah sukan para badminton di temasya tersebut.

Cheah kemudian mempertahankan kejuaraannya dalam acara perseorangan lelaki SU5 pada Paralimpik Paris 2024, membuktikan kejayaan pertamanya bukan satu kebetulan.

Lebih mengagumkan, Cheah memiliki 18 gelaran Kejohanan Dunia yang diraih menerusi acara perseorangan dan beregu sejak memenangi gelaran pertamanya pada 2005.

Pencapaiannya mengubah persepsi terhadap atlet para yang kadangkala hanya diberikan perhatian ketika berlangsungnya temasya besar.

Cheah bukan sekadar juara para. Dia seorang juara dunia yang layak menerima penghormatan setara mana-mana legenda sukan lain.

5.⁠ ⁠Aaron Chia dan Soh Wooi Yik – Penamat penantian 45 tahun

tg

Selama puluhan tahun, Malaysia dikenali sebagai antara kuasa utama badminton dunia, namun gelaran juara dunia senior terus menjadi trofi yang gagal dimiliki negara.

Penantian tersebut akhirnya ditamatkan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo.

Beregu lelaki tersebut menewaskan pasangan berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan untuk muncul pemain badminton Malaysia pertama bergelar juara dunia.

Kejayaan itu menamatkan penantian selama 45 tahun sejak penganjuran edisi pertama Kejohanan Dunia pada 1977.

Aaron dan Wooi Yik turut memenangi pingat gangsa dalam dua edisi Olimpik berturut-turut menerusi Tokyo 2020 dan Paris 2024.

Mereka mungkin bukan pasangan yang sentiasa mudah meraih kemenangan dalam setiap kejohanan, tetapi memiliki keupayaan luar biasa untuk bangkit ketika beraksi di pentas terbesar.

6.⁠ ⁠Lim Hung – Takluk dunia dengan kiub Rubik dan kedua-dua kaki

fv

Nama Lim Hung mungkin belum segah legenda sukan arus perdana lain, tetapi pencapaiannya tidak kurang luar biasa.

Ketika berusia 11 tahun, Lim mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dunia dalam arena speedcubing.

Lebih menarik, kemenangan tersebut diraih dalam acara menyelesaikan kiub Rubik 3x3x3 menggunakan kaki pada Kejohanan Dunia World Cube Association 2019.

Lim menamatkan saingan dengan catatan terbaik 17.10 saat serta purata 23.29 saat, mencipta rekod Asia ketika itu.

Pencapaiannya membuktikan sukan tidak hanya terbatas kepada berlari, melompat atau mengangkat beban.

Speedcubing menuntut ketangkasan, koordinasi, daya ingatan dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam tempoh beberapa saat.

Daripada sebuah permainan yang ditemuinya ketika kecil, Lim mengubah kiub berwarna-warni tersebut menjadi tiket untuk mengibarkan nama Malaysia di pentas dunia.

7.⁠ ⁠Karamjit Singh – ‘Flying Sikh’

bg

Dalam senarai jaguh sukan negara, nama Karamjit Singh mungkin kurang diberikan perhatian generasi baharu berbanding atlet daripada cabang sukan lain.

Namun, pencapaian lelaki yang digelar Flying Sikh itu sebenarnya berada dalam kelas tersendiri.

Pada 2002, Karamjit menjadi pemandu Asia pertama menjuarai FIA Production Car World Rally Championship, sebuah kejohanan yang menuntut pelumba menakluk laluan ekstrem dalam pelbagai keadaan cuaca dan permukaan.

Beliau turut memenangi Kejohanan Rali Asia Pasifik pada 2001, 2002 dan 2004 bersama jentera Proton, membuktikan kemampuan rakyat Malaysia serta kereta nasional bersaing dengan pasukan antarabangsa.

Karamjit tidak beraksi di dalam stadium selesa. Dia meredah hutan, jalan berbatu, lumpur, salji serta laluan berbahaya dengan hanya berpandukan arahan pembantu pemandu.

Setiap kesilapan kecil bukan sekadar boleh menyebabkan kehilangan mata, bahkan berisiko mengancam nyawa.

Kisah perjuangannya bakal diperkenalkan kepada generasi baharu menerusi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya.

Watak Karamjit dibawakan Irfan Zaini, manakala filem berkenaan turut menampilkan Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Diana Danielle dan Qasrina Karim serta dijadualkan menemui penonton pada September.

Karamjit mungkin tidak menerima kemasyhuran sebesar sesetengah bintang sukan lain ketika berada di puncak kerjaya, namun sejarah tidak boleh memadam hakikat bahawa seorang anak Malaysia pernah menakluk dunia rali.

Mereka semua ini membuktikan bahawa kejayaan dunia tidak mengenal bangsa, usia, bentuk fizikal mahupun jenis sukan.

Selagi ada keberanian untuk bermimpi dan disiplin mengejarnya, anak Malaysia sentiasa mempunyai ruang untuk ‘terbang’ lebih tinggi.

Anda mungkin berminat dengan

Jogger Pants Men/Sport Pants/Sweatpants/Long Pants/Seluar Sukan/Seluar panjang/Seluar Sport运动长裤 运动3裤

Jogger Pants Men/Sport Pants/Sweatpants/Long Pants/Seluar Sukan/Seluar panjang/Seluar Sport运动长裤 运动3裤

SCVCN Running Sunglasses Cool UV400 for Unisex

SCVCN Running Sunglasses Cool UV400 for Unisex

adidas Football PREDATOR CLUB Fold-Over Tongue Firm Ground/Multi Ground Football Boots Unisex Pink HQ2273

adidas Football PREDATOR CLUB Fold-Over Tongue Firm Ground/Multi Ground Football Boots Unisex Pink HQ2273

Dovewill Full Face Bicycle Helmet Mountain Bike Helmet Comfortable Protective Gear Cycling Helmet Bicycle Helmet for Men And Women

Dovewill Full Face Bicycle Helmet Mountain Bike Helmet Comfortable Protective Gear Cycling Helmet Bicycle Helmet for Men And Women

adidas Unisex X Speedportal.1 FG Outdoor Boot Football Shoe (GZ5109) Sport Planet 67-02

adidas Unisex X Speedportal.1 FG Outdoor Boot Football Shoe (GZ5109) Sport Planet 67-02

adidas Football Italy 26 Away Jersey Men Blue KC8704

adidas Football Italy 26 Away Jersey Men Blue KC8704

Must Watch Video

Advertisement