Sekilas
- Muhammad Syahir Mohd Rosdi dianugerahkan sebagai tekong terbaik dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) melalui Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Terbilang.
- Anugerah itu diberikan berdasarkan prestasi cemerlang Syahir dalam Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025 serta kemampuannya menyaingi pemain elit Thailand.
- Media sukan Thailand turut mengiktiraf Syahir sebagai salah seorang tekong paling digeruni di dunia, mengukuhkan statusnya di pentas sepak takraw antarabangsa.
Tekong utama skuad kebangsaan, Muhammad Syahir Mohd Rosdi menerima pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan sebagai tekong terbaik dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Pengiktirafan berprestij itu diberikan oleh ISTAF menerusi satu Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Terbilang yang dikeluarkan kepada Syahir sebagai menghargai pencapaian luar biasa di pentas antarabangsa sekali gus mengesahkan statusnya sebagai tekong terbaik dunia.
Menurut kenyataan sijil ISTAF itu, anugerah tersebut dikurniakan susulan prestasi memukau yang dipamerkan oleh Syahir khususnya dalam tiga kejohanan utama iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.
"Melalui penguasaan teknik elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental dan kecemerlangan kompetitif, beliau secara konsisten beraksi di tahap tertinggi sepak takraw antarabangsa," kata kenyataan itu.

Lebih membanggakan, ISTAF turut menggariskan bahawa kemampuan Syahir memberikan saingan sengit dan mencabar dominasi pemain elit Thailand telah mendapat perhatian meluas.
Malah, media sukan Thailand sendiri mengakui kehebatan Syahir dan mengangkatnya sebagai salah seorang tekong paling digeruni di dunia ketika ini.
"Keupayaannya untuk sentiasa mewakili Malaysia dengan penuh kecemerlangan di samping berupaya menandingi serta mencabar pemain elit terbaik Thailand telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan antarabangsa ini.
"Khususnya, pujian daripada media sukan Thailand telah mengesahkan kedudukannya sebagai salah seorang tekong terbaik dunia.
"Pengiktirafan berprestij ini dianugerahkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan cemerlang dalam sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta integriti kesukanan, peranan dalam meningkatkan martabat sepak takraw Malaysia di peringkat global," kata kenyataan itu lagi.