Sekilas
- Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam, bangga selepas pasukannya berjaya membawa pulang pingat emas acara berpasukan di Sukan Asia selepas 36 tahun penantian.
- Farhan menganggap kejayaan ini hasil daripada usaha keras dan latihan berterusan serta berharap pasukan dapat mengekalkan prestasi cemerlang pada masa akan datang.
- Beliau juga memuji penganjuran CelcomDigi STL 2026 yang membantu memartabatkan sukan sepak takraw sebagai sukan profesional dan berharap ia terus berkembang menjadi sukan utama di Malaysia.
Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam menyifatkan kejayaan membawa pulang pingat emas bagi acara berpasukan di Sukan Asia baru-baru ini sebagai satu pencapaian cukup bermakna ditambah pula kejayaan itu hadir selepas 36 tahun penangian.
Menurut Farhan, kejayaan tersebut menjadi bukti segala penat lelah dan latihan yang dilalui bersama pasukan akhirnya membuahkan hasil.
“Syukur Alhamdulillah, pasukan sepak takraw Malaysia telah berjaya membawa pulang pingat emas.
“Kita dapat pecah rekod 36 tahun tak dapat pingat emas untuk acara berpasukanlah. Dan satu pingat perak dalam acara regu,” katanya kepada Gempak.
Farhan berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran CelcomDigi STL 2026 bertempat di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengulas mengenai perasaannya, Farhan mengakui dirinya berasa sangat bangga dan puas apabila berjaya mendapatkan sesuatu yang selama ini sukar dicapai.
“Semestinya memang sangat bangga dan sangat rasa macam berpuas hatilah sebab kita nak dapat benda yang kita susah nak dapat.
“Bila dah dapat tu, kita kalau boleh jangan lepaskanlah. Kita kena maintain untuk masa yang akan datang,” tambahnya.
Bercakap mengenai penganjuran CelcomDigi STL 2026 yang sudah memasuki edisi ke-12, Farhan melihatnya sebagai satu perkembangan bagus yang dapat membantu meningkatkan profesionalisme sukan berkenaan.
“Penganjuran ini menunjukkan bahawa sukan sepak takraw sudah maju dan bukan lagi sukan yang dipandang sebagai sukan kampung.
“Ia juga menunjukkan bahawa sepak takraw merupajan sukan yang profesional,” tambahnya.
Justeru, pemain pasukan Selangor Pistons ini berharap agar sukan sepak takraw terus berkembang sehingga menjadi antara sukan utama yang dibanggakan rakyat Malaysia.
“Harapan saya sukan sepak takraw ni dapat jadi sukan nombor satu di Malaysia dan setiap kali sepak takraw dipertandingkan di acara-acara besar di antarabangsa, pasukan sepak takraw Malaysia sentiasa berada nombor satu,” ujarnya.