The Masked Singer
Vince Chong Sertai The Masked Singer Malaysia Sebab Isteri, "Cabar Diri Untuk Buat Benda Baharu ..."
Bekas juara program Akademi Fantasia musim pertama, Vince Chong mendedahkan isterinya, Fiona Edward menjadi penyebab dia menyertai program The Masked Singer Malaysia.
Kata Vince, dorongan itu yang membuatkan dia terbuka hati untuk mencuba perkara baharu.
"Saya memang tak pernah tengok rancangan ini, isteri saya yang tahu. Dia yang suruh saya sertai game show ni.
"Bila dah tengok konsep, saya rasa apa salahnya cuba. Saya cabar diri untuk buat benda baharu," katanya.
Vince juga mengaku The Masked Singer Malaysia menjadi platform menonjolkan sisi lain dirinya.
"Sebelum ini saya 'hilang' dalam jangka masa yang lama. Jadi bila saya sertai program ini, boleh tunjuk sisi lain diri saya," katanya lagi.
Tambah Vince, program ini telah menyakinkan dirinya untuk menyanyi pelbagai genre lagu.
"Dalam The Masked Singer Malaysia saya bawa lagu-lagu genre yang sebelum ini tak pernah berani nak cuba. Setiap episod, saya ambil risiko yang tinggi."
"Ditambah pula dengan kesemua peserta yang hebat-hebat belaka," katanya lagi.
Pentas akhir itu juga menyaksikan Bunga Raya (Aina Abdul) diangkat sebagai juara selepas berjaya mengenepikan empat peserta lain termasuk Vince sebagai Enggang.
Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak memainkan peranan sebagai juri tetap.
Pelawak dan penyanyi Mark Adam dijemput sebagai juri jemputan bagi menggantikan Zizan Razak.
Di samping itu, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.
Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin.
The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107).
Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video