Pakar kustom dan modifikasi Eisenberg Racing menghasilkan sebuah jentera yang liar serta bakal sah untuk digunakan di jalan raya. Jentera dua roda yang diberi nama Eisenberg EV8 itu dilengkapi dengan enjin 3,000cc.

Hasilnya motosikal terbabit mampu menjana kuasa 500hp (menggunakan petrol lumba) dan 480hp (petrol biasa). Insan yang bertanggungjawab terhadap projek itu ialah Zef Eisenberg dan ia kini masih lagi menjalani ujian supaya dibenarkan untuk kegunaan jalan raya.
Jana kuasa itu dihasilkan oleh beberapa pereka enjin terkenal di United Kingdom dengan mengikut syarat yang ditetapkan oleh Eisenberg. Syarat berkenaan adalah untuk mendapatkan enjin V8 dengan berat, panjang dan tinggi supaya tidak menjejaskan pengendalian jentera.

Selama empat tahun pembangunan yang dilakukan, hasilnya enjin berkenaan mampu menyalurkan 500hp pada 10,500rpm dan tork setinggi 353Nm. Berat enjin hanya 80kg tanpa pemicu turbo.
Ketika ujian, Eisenberg EV8 mampu memecut dengan kelajuan maksimum 362km/j. Ini dicapai tanpa menggunakan turbo, blower, NOS atau fairing. Dengan fairing jentera itu mampu mencapai kelajuan 402km/j. Ia adalah satu angka yang liar untuk kegunaan jalan raya awam.

Enjin Eisenberg V8 menampilkan aci engkol flatplane yang menghasilkan bunyi ekzos sekata berbanding aci engkol crossplane yang menghasilkan bunyi bubbling tipikal ‘chevy v8’.
Selain itu, penghantaran kuasa pula disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan khas yang dibangunkan selama dua tahun. Bagi mengekalkan kuasa tinggi, kotak gear itu dilengkapi dengan elemen istimewa seperti tukaran gear utama sama seperti moto GP. Eisenberg EV8 juga dilengkapi dengan klac berputar terbalik yang melawan inersia giroskopik.

Ini adalah penyelesaian teknikal yang digunakan untuk mengatasi tindak balas inersia yang cukup besar apabila penunggang memulas pendikit. Lebih-lebih lagi, motosikal ini mempunyai reka bentuk swingarm sepusat dengan geometri anti-squat untuk mengurangkan masalah ketegangan rantai.
Swingarm itu menggunakan teknik CNC dan bilet aluminium yang lebih ringan. Eisenberg EV8 kini masih dalam fasa prototaip dan menjalani ujian dyno enjin bagi ia dikeluarkan tidak lama lagi.

Berita Antarabangsa
Eisenberg V8 Jana Kuasa 500hp, Bakal Sah Untuk Kegunaan Jalan Raya