Sekilas
- Katy Perry meluahkan kemarahan selepas lagu popularnya, Firework, digunakan oleh akaun TikTok rasmi White House dalam video serangan ketenteraan tanpa kebenarannya.
- Perry menegaskan lagu itu dicipta sebagai simbol harapan dan kekuatan, bukan untuk menggambarkan keganasan atau peperangan.
- Beberapa artis lain seperti Kesha dan Ariana Grande juga pernah membantah penggunaan lagu mereka oleh White House dalam konteks yang kontroversi dan tidak disokong mereka.
Katy Perry bukan hanya melahirkan kekesalan tetapi turut mengamuk sekepas mendapat tahu lagu popular miliknya, Firework digunakan oleh White House dalam sebuah video TikTok yang memaparkan rakaman serangan ketenteraan.
Menurut Perry, Firework dihasilkan sebagai simbol harapan dan kekuatan buat mereka yang sedang melalui saat paling sukar dalam hidup, bukan melambangkan kehancuran.
"Saya menulis lagu ini sebagai lagu yang memberi harapan, penyembuhan dan kekuatan dalaman. Melihat mesej tentang harga diri dan semangat itu dijadikan latar kepada kemusnahan serta keganasan adalah satu pencabulan terhadap segala nilai yang diwakili lagu ini.
"Muzik saya dicipta untuk menyatukan orang ramai, bukannya meraikan peperangan," katanya menerusi ciapan di X pada hujung minggu seperti dilaporkan People.
Luahan tersebut dibuat selepas akaun rasmi TikTok White House memuat naik video memaparkan peluru berpandu meletup dengan lagu Firework sebagai muzik latar.
Malah, bahagian lirik "boom, boom, boom" dimainkan seiring dengan visual letupan pada Khamis lalu.
Video itu turut disertakan kapsyen berbunyi, Iran has been warned (Iran telah diberi amaran.)
"Saya benar-benar terkejut dan marah melihat Firework digunakan oleh akaun TikTok @WhiteHouse sebagai muzik latar kepada rakaman serangan tentera. Saya tidak pernah memberikan kebenaran, tidak diminta dan sama sekali tidak menyokong perkara ini," tulisnya.
Ironi, Perry, 41, bukan artis pertama yang membantah penggunaan lagu mereka oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Sebelum ini, nama-nama besar seperti Céline Dion, Bruce Springsteen, Linkin Park, Neil Young, Olivia Rodrigo, Sabrina Carpenter dan Radiohead turut meminta pentadbiran Trump menghentikan penggunaan karya mereka di media sosial serta platform rasmi kerajaan.
Pada Jun lalu, Ariana Grande turut mengkritik White House selepas lagu Bye digunakan dalam video TikTok berkaitan operasi penguatkuasaan imigresen yang memaparkan pegawai ICE menahan pendatang.
Video tersebut disertakan kapsyen berbunyi, "Bye-bye. President Trump has delivered the most secure border in history."
Grande kemudian meninggalkan komen pedas di ruangan komen.
"Tolong jangan sesekali gunakan muzik saya untuk perkara yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan mengerikan seperti ini. F**k ICE," tulisnya.
Selepas menerima kecaman, audio lagu tersebut akhirnya dibisukan daripada video berkenaan.
Pada Mac lalu, penyanyi Kesha juga meluahkan rasa tidak puas hati apabila lagu popularnya, Blow, digunakan dalam video White House yang memaparkan jet pejuang melancarkan serangan peluru berpandu ke arah sebuah kapal perang.
"Baru saya tahu White House menggunakan salah satu lagu saya di TikTok untuk menggalakkan keganasan dan mengugut peperangan.
"Menjadikan peperangan sebagai bahan hiburan adalah sesuatu yang menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan," katanya menerusi Instagram Story.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi White House, Steven Cheung, membalas kenyataan Kesha di platform X dengan nada sinis.
"Semua penyanyi ini terus terperangkap. Setiap kali mereka bersuara, video kami dapat lebih banyak perhatian dan tontonan kerana orang ramai mahu melihat apa yang mereka bisingkan," tulisnya.