Sekilas
- Seorang pempengaruh TikTok dari AS, Sara Gilson, maut ditembak suaminya, Shawn Duffey, dua minggu selepas dia menuduh suaminya sebagai pedofilia.
- Kedua-dua mereka ditemui mati di kediaman mereka di Oklahoma, dengan kejadian dipercayai kes bunuh sebelum suspek membunuh diri.
- Gilson pernah memuat naik video di TikTok mendedahkan rumah tangganya berakhir dan membuat dakwaan terhadap suaminya tanpa memperincikan butiran.
Seorang pempengaruh TikTok dari Amerika Syarikat, Sara Gilson, dilaporkan maut selepas ditembak suaminya, Shawn Duffey, hanya dua minggu selepas dia membuat dakwaan lelaki itu merupakan seorang pedofilia.
Selain Gilson, Duffey juga ditemui mati di tempat kejadian akhir minggau lalu. Pasangan tersebut diketahui sedang dalam fasa berpisah, lapor USWeekly.
Mengikut laporan media tempatan, Gilson yang memiliki sekitar 38,000 pengikut di TikTok mendakwa sekaligus mendedahkan suaminya seorang pedofilia sekitar dua minggu lalu.
Dia yang merupakan jurugaya fesyen telah memuat naik satu video di TikTok memaklumkan rumah tangganya sudah berakhir dan mendakwa suaminya adalah seorang pedofilia.

Pada 11 Julai lalu, pempengaruh itu dilihat memuat naik trend viral TikTok dengan berpura-pura dipasang mikrofon sambil menulis:
"Bersedia apabila Netflix keluarkan dokumentari mengenai bakal bekas suami saya yang baru saya tahu sebenarnya seorang pedofilia."
Dia bagaimanapun tidak memperincikan dakwaan tersebut dan hanya menambah kapsyen:
"Saya harap semua ini hanya gurauan."
Sementara itu menurut laporan media tempatan di Oklahoma, kedua-duanya ditemui tidak bernyawa di kediaman mereka pada 23 Julai selepas polis menerima panggilan mengenai kejadian tembakan.
Sebaik tiba di lokasi, pihak berkuasa mengesahkan Gilson dan Duffey telah meninggal dunia. Seorang ahli keluarga yang berada di rumah ketika kejadian mendakwa insiden tersebut dipercayai merupakan kes bunuh sebelum suspek bertindak membunuh diri. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan.