Walaupun baru sedikit sedutan filem Ada Apa Dengan Dosa ditayangkan di beberapa saluran Astro, ramai yang sudah tidak sabar menonton karya terbabit.

Berkongsi pandangan di media sosial, ramai yang berpendapat filem Ada Apa Dengan Dosa punyai jalan cerita yang menarik dan sesuai ditayangkan ketika tempoh ini.

"Sinopsis Ada Apa Dengan Dosa macam best," tulis @syazaizzatii.

"Ada Apa Dengan Dosa ni macam best je. Previu tadi kat Oasis, menarik plot dia," puji @missyraraa.

"Tak sabar nak tunggu 4 Jun. Baru tengok tayangan perdana je tapi rasa nak tengok filem penuh. Dah tak sabar," tambah @zyfa_gk.

Filem Ada Apa Dengan Dosa mengangkat kisah seorang ustaz dihantui dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah.

Lebih mengejutkan, anak perempuannya itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.

Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 4 Jun ini.