BERITA
Gadis 12 Tahun Tiada Kawan Kerana Bantu Ibu Kutip Sampah
Seorang gadis berusia 12 tahun dari Thailand mencuri perhatian netizen selepas berkongsi kisah hidupnya yang tidak mempunyai kawan di sekolah kerana membantu ibunya mengutip sampah untuk mencari rezeki, lapor Must Share News.
Sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh tempatan baru-baru ini meraih lebih 1.1 juta tanda suka dalam tempoh dua hari di Facebook.
Dalam video tersebut, pempengaruh itu menghampiri beberapa ekor kucing yang berada di atas troli beli-belah kerana kelihatan comel. Selepas beberapa ketika, dia menyedari troli dan kucing tersebut milik Fasai, seorang gadis muda yang sedang menyusun sampah berhampiran tapak pelupusan.
Apabila didekati, Fasai memaklumkan bahawa dia mengutip sampah bagi membantu ibunya menampung kehidupan mereka. Ketika ditanya sama ada dia mempunyai kawan, Fasai mula menangis dan mendedahkan bahawa rakan sekelasnya menggelarnya sebagai “pengutip sampah”, menyebabkan dia tiada kawan.
Tersentuh dengan keadaan itu, pempengaruh berkenaan menawarkan wang kepada Fasai, namun gadis itu menolak sambil menangis lebih kuat. Akhirnya, pempengaruh tersebut berjaya memujuk Fasai membenarkannya membeli beberapa barangan keperluan di kedai runcit berdekatan.
Semasa memilih barangan, pempengaruh itu menyedari bahawa Fasai hanya memilih keperluan asas seperti beras, makanan kering dan rempah ratus. Malah, semua barangan itu adalah pilihan paling murah dan kesemuanya untuk kegunaan seisi keluarga, termasuk kucing peliharaan mereka. Fasai turut membeli ubat untuk membantu ibunya yang mengalami sakit sendi.
Ketika wartawan Thairath mengunjungi keluarga itu di kediaman mereka, ibu tunggal Fasai, 50, memuji sifat berdikari anaknya. Selain membantu kerja-kerja harian, Fasai turut menemani ibunya mengutip sampah pada hari cuti sekolah, namun tetap menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran semasa waktu persekolahan.
Menurut ibu Fasai, beliau mempunyai tiga orang anak; dua anak lelakinya kini telah bekerja. Selepas video itu menjadi tular, ramai tampil menawarkan bantuan. Walaupun pada awalnya keberatan, ibu Fasai berharap bantuan diberikan agar anak perempuannya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi—peluang yang tidak diperoleh oleh anak-anak sulungnya dahulu.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video