Berkongsi satu entri di Instagram miliknya, Zarul Umbrella memuat naik satu komen yang menggelarkan dirinya bodoh kerana memakai penutup hidung dan mulut ketika menemu bual seorang juruterbang.

Komen tersebut ditinggalkan di saluran YouTube miliknya yang kini sudah mempunyai pengikut hampir 200 ribu orang.

"Ehh bodoh nak borak buka mask tu bodoh," tulis seorang pengguna YouTube.

Komen biadap tersebut dijawab dengan tenang oleh Zarul.

"Minta maaf ye kalau kamu terganggu tapi saya rasa elok kalau salah seorang pakai mask sebagai langkah berwaspada since Covid makin merebak sekarang ni," tulis Zarul.

Gitulah...? #AkuPakaiMaskKoYangLemas

A post shared by Zarul Umbrella (@zarulumbrella) on


Ketika dihubungi Gempak untuk mendapat penjelasan lebih lanjut, Zarul terdiam seketika.

"Kalau ikutkan hati memang nak marah dan maki hamun, tapi saya berfikir dengan tenang kerana mungkin orang yang menulis komen tersebut pendek akal atau ada kekurangan dan masalah pada dirinya.

"Lebih baik saya menjawap dengan tenang dan menerangkan dengan cara baik. Saya husnuzon saja sebab mungkin dia ada masalahnya yang tersendiri," beritahu Zarul kepada Gempak.

Menurut Zarul, jika ada sebarang komen yang buruk-buruk atau pangilan yang kasar, dia tetap menjawapnya dengan cara yang baik.

"Tidak ada gunanya api disimbah dengan minyak. Biarlah kita sejukkan dengan air.

"Tenang atau tidak selepas itu, terpulang kepada mereka sendiri. Saya hanya menjawap dengan cara saya sahaja dan tidak mahu melatah," beritahu Zarul lagi.

Tambah Zarul, ada juga yang bertanya mengapa dia menggunakan perkataan Umbrella pada namanya dan adakah perkataan itu mempunyai simbolik tertentu.

"Mereka ini masih muda dan mungkin tidak tahu, jadi saya jawap sahaja asal usul perkataan Umbrella pada nama saya tersebut.

"Ada juga yang membetulkan perkataan yang saya gunakan dalam temu bual seperti apabila saya menggunakan perkataan 'kapal terbang', mereka minta saya gunakan perkataan 'pesawat'," kata Zarul sambil ketawa kecil.

Saluran YouTube milik Zarul Umbrella banyak berkongsi kisah dan temu bual tentang pekerjaan di sektor penerbangan sebagai pramugara, pramugari serta pilot, selain vlog dan kisahnya dalam bidang hiburan.