GAYA HIDUP
Minyak Zaitun Palsu Ancam Kesihatan, Penyelidik Bongkar Fakta Mengejutkan
Minyak zaitun palsu yang dilabel sebagai extra virgin olive oil (EVOO) dikesan dalam pasaran Malaysia dan didapati tidak selamat untuk dimakan secara langsung.
Penemuan mengejutkan ini didedahkan dalam Malaysia Olive Oil Summit 2025 yang dianjurkan dengan jayanya hasil kerjasama antara Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Olive Jardin Sdn. Bhd.
Di acara bersejarah ini, buat pertama kali semua pihak berkepentingan dalam industri minyak zaitun di Malaysia iaitu pengusaha, pemasar, pengguna, ahli akademik dan pihak berkuasa, berada di bawah satu bumbung untuk berkongsi maklumat berkenaan minyak zaitun.

.jpeg)
Idea penganjuran ini bertitik tolak dari usahasama penyelidikan manfaat kesihatan minyak zaitun yang dijalankan oleh Fakulti Perubatan UniSZA bersama Olive Jardin selaku rakan industri pada tahun 2024.
Kajian tersebut diketuai oleh Dr Noor Azlina binti Abu Bakar, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UniSZA yang bertindak sebagai Principal Investigator (PI).
Turut terlibat aktif dalam penyelidikan ini ialah Dr Suhana Samat, Ketua Jabatan R&D Olive Jardin Sdn. Bhd.
Dr Noor Azlina Abu Bakar, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UniSZA yang bertindak sebagai Principal Investigator (PI) berkata, kajian tersebut memanfaatkan minyak zaitun perahan dara / extra virgin olive oil (EVOO) dari variasi tuaian muda / early harvest yang dipasarkan Olive Jardin Sdn Bhd, iaitu Zouitina Prestige (ZPEVOO).
“Selain ZPEVOO, kajian turut membuat perbandingan dengan dua variasi minyak zaitun yang dilabel sebagai EVOO A dan EVOO B. Berpandukan prinsip perkongsian ilmu dan sumbangan kepada masyarakat, Malaysia Olive Oil Summit dianjurkan dengan niat murni berkongsi dapatan kajian.
"Ini kerana terdapat beberapa penemuan kajian berkaitan kesihatan awam dan kepentingan masyarakat pengguna yang perlu diketengahkan.
“Aspek pertama yang ingin dibawa ke pengetahuan awam ialah isu kualiti minyak zaitun. Isu pemalsuan label minyak zaitun di pasaran adalah masalah global yang sering dilaporkan dalam pelbagai medium termasuk makalah akademik. Ketiga-tiga variasi minyak zaitun yang digunakan di dalam kajian ini dipasarkan dengan label EVOO.
“Demi memastikan kualiti minyak zaitun yang digunakan untuk kajian ini, kesemua sampel telah dihantar ke makmal di Sepanyol yang menerima akreditasi International Olive Council (IOC) untuk diuji. Ujian kualiti memerlukan dua penilaian iaitu; Physicochemical Analysis dan Organoleptic Assessment,” katanya.
Tambah Dr Noor Azlina lagi; “Kami mendapati salah satu variasi, iaitu EVOO B tidak menepati kualiti yang didakwa. Meskipun dalam aspek physicochemical analysis, tiga parameter utama berada di dalam julat EVOO, bacaan sampel ini untuk parameter lain yang digariskan IOC dan EU tidak berada di dalam julat EVOO.
“Ini selanjutnya disahkan melalui organoleptic assessment di mana sampel ini dikelaskan sebagai Lampante Olive Oil (LOO) iaitu gred yang ditafsirkan oleh IOC dan EU sebagai tidak selamat untuk dimakan secara langsung. LOO perlu disuling kepada Refined Olive Oil (ROO) sebelum ia selamat untuk dimakan.”
“Penemuan ini mengesahkan laporan pemalsuan label yang dilaporkan oleh pelbagai pihak dan kami ingin membawa perkara ini kepada pengetahuan pengguna. Aspek kedua yang ingin diketengahkan adalah isu manfaat kesihatan EVOO dan mudarat kesihatan LOO.”
Umum mengetahui minyak zaitun terutama dari gred kualiti EVOO adalah makanan kesihatan dan diambil demi manfaat kesihatan. Namun, tidak ramai maklum akan risiko pengambilan minyak zaitun gred kualiti LOO membawa mudarat sebagaimana yang digariskan oleh IOC. Ini mendedahkan kepada isu kesihatan pengamal minyak zaitun andai tersalah pilih.
Kajian yang dijalankan memberi bukti manfaat kesihatan EVOO dan mudarat kesihatan LOO. Kesemua dapatan kajian dalam kedua-dua aspek ini dibentangkan secara penuh dan telus pertama kali di sini. Demi memastikan maklumat ini sampai kepada semua pihak berkepentingan, penganjur telah menjemput wakil-wakil IPTA dan KKM.
Persidangan ini juga turut dijayakan panel-panel hebat seperti Datuk Dr. Haji Anhar Haji Opir dengan tajuk Panduan Agama Tentang Minyak Zaitun, Profesor Dr. Harmy Mohamed Yusoff, Dekan Fakulti Perubatan UniSZA (Mekanisma & Manfaat Kesihatan Minyak Zaitun Extra Virgin), dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UniSZA, Dr Noor Azlina Abu Bakar dengan pembentangan bertajuk Perubatan Berasaskan Bukti: Minyak Zaitun dalam Penyelidikan Terkini di UniSZA.
Manakala Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UniSZA, Dr Noor Azuin Suliman pula menyampaikan tajuk Kesan Pengambilan Minyak Zaitun Lampante Kepada Kesihatan Berdasarkan Kajian UniSZA, dan Dr Suhana Samat dengan pembentangan Kenal Pasti Aroma Bau Minyak Zaitun Extra Virgin (Early Harvest vs Late Harvest) dan Kenal Pasti Tekstur & Rasa Minyak Zaitun Extra Virgin. Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Olive Jardin Sdn. Bhd., Muhd Shakir As-Salam.
Must-Watch Video