HOLLYWOOD
Pelakon Jual Sabun Daripada Air Bekas Mandian Sendiri - "Kalian Asyik Tanya, Jadi Saya Simpan"
Pelakon antarabangsa Sydney Sweeney mencetuskan kontroversi apabila melancarkan sabun daripada air bekas mandiannya sendiri menerusi kolaborasi bersama jenama Dr. Squatch.
Produk yang diberi nama Sydney's Bathwater Bliss itu akan mula dijual pada 6 Jun 2025 dengan harga bernilai sekitar AS$8 hingga AS$12 sebuku, terhad kepada 5,000 unit sahaja.
Idea untuk menghasilkan produk ini tercetus daripada respon lucu apabila bintang siri Euphoria itu muncul dalam iklan Dr Squatch yang menampilkan adegan mandi.
"Kalian asyik tanya pasal air mandi saya lepas iklan @drsquatch tu... jadi, kami simpan.
"Memperkenalkan Sydney’s Bathwater Bliss! Sabun yang terhad dan dibuat menggunakan air mandian sebenar saya," tulisnya.
Pihak Dr. Squatch turut berkongsi beberapa permintaan lucu daripada peminat di Instagram yang mahukan lebih banyak air mandi Sydney, termasuk cadangan untuk menyiram pokok bonsai, dijadikan titisan mata dan juga untuk mencuba rasanya.
"Bila peminat mula minta air mandian, kita ada dua pilihan: abaikan... atau jadikan ia sabun Dr. Squatch," katanya dalam kenyataan media kepada NBC.
Sabun yang mengandungi ekstrak kayu pine dan sedikit sentuhan 'air mandian Sydney' itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Ada yang memuji kreativiti dan keberanian pelakon itu selain ada juga yang mengkritik bentuk objektifikasi diri dan pemasaran.
Walaupun dihimpit kontroversi, Sydney menyifatkan sabun ini sebagai sesuatu yang 'pelik, tapi dengan cara yang unik' dan satu produk yang 'tak akan dilupakan'.
Must-Watch Video