Sekilas
- Episod keempat siri premium Bad Cop menampilkan Emir yang menyamar sebagai Imar berjaya menyusup ke dalam dunia jenayah dan menyelesaikan kes pembunuhan serta rompakan yang buntu.
- Emir berjaya menjejak dalang jenayah dan membawa kepada penangkapan Syaza Shira, namun kehidupan bergandanya mula mencetuskan ketegangan dengan rakan dan individu terdekat.
- Siri ini mengangkat isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga, ditayangkan di platform OnDemand, sooka, Astro Citra dan Astro Ria sejak 19 Disember 2025.
Siri premium Bad Cop kini memasuki episod keempat dengan penceritaan yang semakin mencabar, sekali gus membuatkan penonton tidak senang duduk mengikuti setiap perkembangan watak utamanya
Menerusi episod kali ini, Emir yang menyamar sebagai Imar berjaya menyusup lebih jauh ke dalam dunia jenayah, sekali gus merungkai sebuah kes pembunuhan dan rompakan yang selama ini buntu.
Melalui kepintaran dan naluri penyiasatan yang tajam, Emir akhirnya berjaya menjejak dalang di sebalik jenayah tersebut, membawa kepada penangkapan Syaza Shira—seorang suspek yang bukan sahaja licik, tetapi penuh rahsia.
Namun kejayaan itu hadir bersama harga yang mahal. Kehidupan berganda Emir semakin sukar dikawal, mencetuskan ketegangan dengan rakan sepasukan dan individu terdekat yang mula mempersoalkan tindak-tanduknya.
Setiap langkah sebagai Imar menjauhkan Emir daripada siapa dirinya yang sebenar, sekaligus menjeratnya dalam rasa bersalah yang kian menghimpit.
Terperangkap antara tanggungjawab sebagai anggota polis dan identiti palsu yang semakin meresap ke dalam jiwanya, Emir berdepan dilema terbesar setakat ini—adakah penyamarannya masih sekadar satu misi, atau sudah menjadi sebahagian daripada dirinya?
Episod ini memperlihatkan bagaimana kemenangan dalam siasatan boleh bertukar menjadi kekalahan peribadi, apabila kebenaran yang disembunyikan mula menuntut harga.
Astro Originals mempersembahkan siri premium terbaru, Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman 2017 yang juga diadaptasi di India pada 2024.
Siri ini menampilkan Aiman Hakim yang membawa dua watak berbeza serta membawakan isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga dalam format case-of-the-week.
Bad Cop mula ditayangkan pada 19 Disember 2025 di platform OnDemand, sooka, Astro Citra dan Astro Ria dengan arahan Jason Chong dan showrunner Kavivarmen Vigneswaran.