HIBURAN
Sakit Tulang Belakang Tak Sembuh-Sembuh, Zamani Rehat Sebulan Berubat
Bintang Gegar Vaganza 5 (GV5) Zamani mendedahkan bakal berehat selama sebulan sepanjang Ramadan untuk menjalani rawatan masalah tulang belakang yang dialaminya sebelum ini.
Jelas vokalis kumpulan Slam itu, rawatan itu mungkin akan dijalani di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
"Kalau nak diikutkan saya boleh bertahan lagi tetapi sepanjang Ramadan nanti saya tidak mengambil sebarang persembahan.
"Jadi, itulah masa yang paling ideal untuk saya melakukan rawatan tulang belakang ini.
"Sebelum ini saya sudah membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan keadaan tulang saya berbentuk 'S'.
"Saya bukanlah akan menjalani pembedahan tetapi melakukan rawatan yang sesuai mengikut saranan doktor," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video Aduh di Red Box The Gardens baru-baru ini.
Sebelum ini Zamani disahkan menghidap masalah tulang belakang melengkung atau penyakit Skoliosis hingga mengganggu kesihatannya.
Dalam pada itu kata Zamani jadual yang padat, berdiri terlalu lama dan kurang pengambilan air menambah risiko penyakitnya itu.
"Sekarang memang sibuk ke sana ke sini. Takkanlah saya nak tolak undangan nyanyian.
"Jadi, apabila berdiri terlalu lama dan terlalu penat, tambah pula saya kurang minum air, itu punca sakit ini datang balik," ujarnya yang selama ini bergantung pada ubat penahan sakit.
Aduh merupakan hasil ciptaan Zamani bersama Faizal Tahir, Adib Hussin, Mike Chan, Romeo dan Karim Karam.
Must-Watch Video