HIBURAN
Ustaz Adam & Nur Kekal Watak Drama, Nur Tak Jadi Difilemkan
Cadangan untuk membawa kisah kehidupan watak Ustaz Adam dan isteri dalam drama bersiri Nur ke sebuah filem telah dibatalkan.
Memetik laporan BH Online, perkara itu telah disahkan oleh pengarah drama berkenaan iaitu Shahrulezad Mohameddin.
Menurut Shahrulezad, keputusan itu dibuat selepas semua pihak penerbit, Radius One Sdn Bhd dan Primeworks Studios (PWS) mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk plot cerita dan kekangan masa.
"Pada mulanya, kita teruja hendak membawa drama Nur yang dihasilkan sebanyak dua musim kepada layar perak.
"Namun, selepas berbincang dengan PWS, kita setuju jalan cerita filem Nur berhadapann isu batasan masa.
“Faham sahajalah, durasi untuk filem adalah antara 90 minit hingga 110 minit. Apa yang dicadangkan sebagai kandungan cerita untuk filem ini amat berat.
“Jadi, kita tidak boleh memasukkan semua elemen kerana dikhuatiri menjejaskan plot cerita,” katanya.
Tambah Shahrulezad, dia merasakan idea untuk menghasilkan Nur 3 lebih sesuai berbanding sebuah filem.
“Kita lihat idea Nur 3 lebih sesuai untuk drama berbanding filem. Memang jauh di sudut hati, saya hampa dan terkilan tidak dapat mengarah filem.
“Namun, saya tidak boleh mementingkan diri sendiri. Saya tak boleh buat filem semata-mata hendak ikut aliran orang.
“Daripada menghasilkan filem Nur yang separuh ‘masak’ dan tangkap muat, lebih baik jangan. Nur sudah mencipta reputasi dan fenomena sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai drama Nur musim ketiga akan diteruskan, Shahrulezad tidak dapat memberi kepastian.
“Semuanya masih samar kerana perlu mendapat persetujuan PWS dan barisan pelakon,” tuturnya menutup bicara.
Sumber : BH Online
Must-Watch Video