Sekilas
- Issey Fazlisham menegaskan tugas penyampai radio bukan sekadar siaran langsung selama empat jam sahaja, tetapi melibatkan kerja tambahan seperti persiapan, mesyuarat, dan pencarian kandungan.
- Gaji penyampai radio berbeza-beza dan tidak mudah diketahui secara tepat oleh rakan sekerja sendiri.
- Selain tugasan di konti, Issey dan rakan sekerjanya kerap menghadiri acara dan jemputan luar, terutama untuk segmen Bro Pagi Gegar di Pantai Timur.
Penyampai radio, Issey Fazlisham menepis tanggapan segelintir pihak yang menganggap tugas seorang penyampai radio hanya memerlukan tempoh bekerja selama empat jam sehari.
Menurut Issey, skop kerja penyampai radio masa kini juga semakin meluas dan bukan hanya tertumpu kepada tugasan mengendalikan siaran secara langsung.
"Saya pun ada terbaca juga, katanya penyampai radio bekerja empat jam sahaja. Tetapi ada yang kata gaji mahal.
"Pertama sekali, gaji penyampai radio ini berbeza-beza. Sampai sekarang saya pun tak tahu berapa gaji partner saya iaitu Fizi, Fizi pun tak tahu gaji saya. Kalau kita tengok sekarang, penyampai radio bukan di radio sahaja. Bersiaran mungkin empat jam, tetapi kena ambil kira selepas on air.
"Digital, prep untuk esok, meeting, cari content, keluar, assignment, itu pun kita buat juga. Macam kita pun sebahagian daripada media juga. Jadi bukan empat jam sebenarnya, lebih," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Issey turut berkongsi bahawa komitmen sebagai penyampai THR Gegar bukan hanya melibatkan tugasan di konti, malah perlu memenuhi pelbagai jemputan dan acara di luar kawasan.
Katanya, sebagai penyampai radio yang mengendalikan segmen Bro Pagi Gegar (BPG) bersama Fizi untuk pendengar di Pantai Timur, mereka juga kerap bergerak ke lokasi berkenaan bagi memenuhi tugasan termasuk pada hujung minggu.
"Kadang-kadang setiap minggu, macam contoh kami radio THR Gegar Pantai Timur. Kami pun bergerak ke Pantai Timur, kadang-kadang weekend ada event sana sini.
"Jadi untuk yang mengatakan kami bekerja empat jam sahaja itu, ni kamilah, saya cakap sayalah, BPG Bro Pagi Gegar bersama Fizi ini, kami bekerja lebih empat jam," ujarnya.