Terdapat lebih daripada 120 buah filem antarabangsa dan tempatan yang telah diharamkan tayangannya di Malaysia.

Walaupun sesetengah filem berfungsi memberikan informasi dalam sifat hiburan, ada sesetengah filem gagal mematuhi syarat yang diletakkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum memasuki pawagam.

Filem yang layak ditayangkan biasanya ditapis berdasarkan elemen seram, ganas, seks, politik, agama dan kebudayaan yang tidak keterlaluan.

Sejak tahun 1936 lagi, filem yang gagal mematuhi kriteria yang ditetapkan LPF haram ditayangkan di pawagam Malaysia.

Jadi, kami senaraikan beberapa filem yang telah diharamkan tayangan di pawagam Malaysia.

1) Fifty Shades Of Grey
Pengarah: Sam Taylor-Johnson
Pelakon: Dakota Johnson, Jamie Dornan
Genre: Erotis romantik
Tahun: 2011

Filem itu diangkat daripada sebuah novel popular Fifty Shades Of Grey dan sudah dijangka dari awal tidak dapat ditayangkan di Malaysia.

Bagaimanapun pengedar filem di Malaysia iaitu United International Pictures (UIP) pada awalnya berkata filem tersebut akan ditayangkan di Malaysia dan berita tersebut nyata menggembirakan sesiapa yang membaca novel tersebut.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak lama apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengharamkan filem lakonan Dakota Johnson dan Jamie Dornan kerana dikatakan terlalu sarat elemen pornografi.




2) Sex Tape
Pengarah: Jake Kasdan
Pelakon: Cameron Diaz, Jason Segel, Rob Lowe
Genre: Komedi romantik
Tahun: 2014

Filem ini adalah filem kedua berunsur seks yang diharamkan di Malaysia pada tahun 2014.

Rata-rata tidak terkejut dengan pengharaman filem tersebut kerana judul filem tersebut awal-awal lagi mengisahkan tentang seks, maka tidak hairanlah ia diharamkan.



3) The Raid 2: Berandal
Pengarah: Gareth Evans
Pelakon: Iko Uwais, Yayan Ruhian, Cecep Arif Rahman
Genre: Thriller aksi
Tahun: 2014

Jika sebelum ini filem pertama garapan Gareth Evans The Raid: Redemption pernah ditayangkan di Malaysia pada tahun 2011, namun untuk sekuel kedua ini iaitu The Raid 2: Berandal telah diharamkan dari tayangan di Malaysia.

Menurut Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF), filem yang diterajui oleh Iko Uwais ini mempunyai terlalu banyak babak ganas.




4) The Wolf of Wall Street
Pengarah: Martin Scorsese
Pelakon: Leonardo DiCaprio, Margot Robbie, Jordan Belfort, Jonah Hill
Genre: Biografi
Tahun: 2013

Filem yang dibintangi pelakon hebat Leonardo DiCaprio ini diharamkan ditayangkan di Malaysia kerana terdapat unsur lucah, babak bogel dan seks.

Selain itu, filem arahan Martin Scorcese ini juga mencipta rekod penggunaan perkataan lucah 'F**K' paling banyak dalam filem R-rated iaitu sebanyak 506 kali dalam filem itu atau 2.81 kali seminit.




5) I Spit On Your Grave
Pengarah: Steven R. Monroe
Pelakon: Sarah Butler, Jeff Branson, Chad Lindberg
Genre: Thriller seram
Tahun: 2010

Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita yang membalas dendam terhadap sekumpulan lelaki yang merogolnya.

Bukan sahaja diharamkan di Malaysia, malah terdapat banyak negara lain yang turut mengharamkan tayangan filem ini antaranya Singapura, Thailand, China dan New Zealand.

Alasnya kerana filem arahan Steven R. Monroe ini didakwa mengeksploitasi golongan wanita.



6) Noah
Pengarah: Darren Aronofsky
Pelakon: Russell Crowe, Emma Watson, Jennifer Connelly, Logan Herman
Genre: Drama fantasi
Tahun: 2014

Filem yang memaparkan jalan cerita berasaskan kepada kisah hidup Nabi Nuh A.S ini mendapat kritikan hebat daripada negara-negara Islam di dunia berikutan memaparkan ilustrasi atau wajah Nabi Nuh yang sememangnya bertentangan dengan Garis Panduan Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri dan selaras dengan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain Malaysia, beberapa negara di Timur Tengah seperti Qatar, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan banyak lagi telah mengharamkan tayangan filem yang dibintangi Russel Crowe, Jennifer Connelly, Anthony Hopkins dan Emma Watson.

Malah institusi terkenal Islam di Mesir, Al-Azhar turut mengeluarkan fatwa yang mengharamkan filem ini.




7) Dukun
Pengarah: Datin Paduka Umie Aida, Bront Palarae, Namron
Pelakon: Dain Said
Genre: Thriller seram
Tahun: 2007

Filem seram tempatan Dukun arahan pengarah hebat Dain Said ini sememangnya dinanti-nanti oleh ramai pada tahun 2007.

Dukun merupakan sebuah filem yang diadaptasi dari kes pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa seorang pengamal ilmu hitam.

Berikutan itu, Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) telah mengharamkan filem tersebut kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.




8) Banglasia
Pengarah: Namewee
Pelakon: Namewee, Saiful Apek, David Arumugam
Genre: Aksi komedi
Tahun: 2013

Filem yang diarahkan oleh pengarah kontroversi Namewee ini sepatutnya ditayangkan di seluruh negara pada 30 Januari 2014, namun filem "Banglasia" telah diharamkan dari ditayangkan di Malaysia dikecam hebat oleh LPF dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) ketika proses mendapatkan kelulusan filem itu.

Pihak LPF dan KDN turut memberikan sebanyak 31 catatan rasmi iaitu 90 peratus dari filem tersebut sekaligus mengarahkan filem tersebut membuat penggambaran semula.

Malah Banglasia tidak dibenarkan ditayangkan di laman sosial YouTube atau dijual di pasaran secara sah atau haram dan pihak yang menayangkan filem ini di rumah ataupun di kawasan awam akan berdepan tindakan undang-undang.



9) Vishwaroopam
Pengarah: Kamal Haasan
Pelakon: Kamal Haasan, Rahul Bose, Pooja Kumar
Genre: Thriller
Tahun: 2013

Filem Vishwaroopam sepatutnya memulakan tayangan pawagam di India pada 24 Januari 2013 namun ditarik balik sehari selepasnya.

Naskhah itu telah mendapat bantahan daripada segelintir penduduk negara itu yang mendakwa ada babak yang menunjukkan agama Islam daripada sudut negatif.

Selepas beberapa adegan disunting, filem itu kembali ditayangkan pada 19 Februari 2014.



10) Beauty And The Beast
Pengarah: Bill Condon
Pelakon: Emma Watson, Dan Stevens, Luke Evans
Genre: Muzikal romantik fantasi
Tahun: 2017

Penundaan filem yang diterbitkan oleh Walt Disney Pictures itu telah mengundang rasa tidak puas hati netizen yang menunggu dengan penuh harapan untuk menonton filem arahan Bill Condon.

Filem Beauty And The Beast sepatutnya ditayangkan bermula 16 Mac namun telah ditunda gara-gara mengandungi adegan berunsurkan homoseksual.

Difahamkan filem tersebut akan ditayangkan pada 30 Mac ini.




Olahan oleh: Amri Hassan