Sekilas
- Hazama menerima anugerah 'Voice of Generation' pada majlis Top Asia Corporate Ball 2026 di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.
- Penyanyi itu berkongsi rasa syukur dan terima kasih kepada keluarga, peminat, dan penyokong melalui hantaran di Threads.
- Anugerah tersebut menjadi motivasi Hazama untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang dinikmati peminat.
Penyanyi, Hazama meluahkan rasa syukur selepas menerima pengiktirafan ‘Voice of Generation’ pada majlis Top Asia Corporate Ball 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Hazama menerusi satu hantaran di Threads.
Menerusi ciapan yang dibuat, Hazama yang memuat foto dirinya menggenggam anugerah tersebut menzahirkan ucapan terima kasih atas penghargaan yang diberikan.
Menurut Hazama, pengiktirafan tersebut turut menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus berkarya dan menghasilkan sesuatu yang dapat dinikmati peminat.
“Alhamdulillah. Bersyukur atas kurniaannya. Terima kasih TOP10 ASIA di atas penghargaan ini ‘Voice of Generation’.
“Terima kasih buat keluarga, peminat dan semua yang menyokong karier saya selama ini. Hanya Allah yang dapat membalas.
“Anugerah ini memberikan lagi semangat untuk terus berkarya untuk anda semua,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan ucapan tahniah buat Hazama atas kejayaan tersebut.
Sumber: Threads