Pelakon dan pengacara, Ain Edruce akhirnya memperkenalkan cahaya mata pertamaya kepada umum selepas hampir dua minggu melahirkan.

Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, 30, gembira mengumumkan nama puterinya yang pendek dan ringkas sebagai Soraya.

“Soraya maksudnya cantik.

“Nama bapa dia pun panjang ada tiga perkataan jadi kita beri nama anak sebagai Soraya satu perkataan sahaja.

“Sebenarnya ramai kawan-kawan yang tanya nak tengok gambar anak dan ketika itu ia masih sangat kecil. Jadi kini saya dedahkan bukan untuk menunjuk atau apa..hanya sekadar berkongsi,” katanya.

Ain dan suami Muhammad Amirul Hafiz memperkenalkan anak mereka dalam sebuah video yang dimuat naik ke laman YouTube.

Menerusi video yang berjudul Meet Our Baby itu, Ain dan suami turut berkongsi pengalaman melahirkan anaknya.

Ain mendedahkan perjalanan melahirkan anak pertanya sangat panjang iaitu 26 jam serta terpaksa mengambil tiga kali induce serta epidural.

“Journey nak melahirkan dia memang sangat lama, dalam 26 jam tapi rasa macam 2 hari.

“Masa tu saya sudah 39 minggu, doctor sampai terpaksa induce untuk keluarkan baby sebanyak tiga kali.

“Namun saya boleh katakan epidural sangat membantu saya untuk menikmati proses bersalin itu dengan sangat tenang,” ceritanya.

Pun begitu, Ain akui ia sangat berbaloi selepas melihat wajah anaknya buat pertama kali.

“Saya terpaksa mencuba selama satu jam untuk mengeluarkan baby dan akhirnya saya meminta supaya doctor vakum baby kerana posisi kepalanya agak senget ketika hendak keluar.

“Alhamdulilah walaupun sedih tengok kepala baby agak lonjong pada mulanya itu tapi selepas melihat wajahnya saya rasa gembira dan sangat berbaloi,” katanya.

Ain selamat melahirkan Soraya di sebuah hospital swasta di Subang Selalngor pada 19 Mei lalu.
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2019.