Laman Utama
35mm Bawa Penonton Mengimbau Masa Lampau - Syahmi Sazli
Pengarah dan pelakon bagi filem 35mm, Syahmi Sazli mendedahkan alasan utama dirinya memilih tema pengembaraan ke masa lampau menerusi filem arahannya itu.
Menurut Syahmi, antara sebab tema berkenaan dipilih adalah kerana keinginan untuk mengimbau masa lampau dan sekaligus mengangkat kenangan-kenangan lalu menerusi layar lebar.
“Idea penghasilan filem ini datang daripada saya sendiri. Kenapa saya pilih idea kembara ke masa lampau? Sebab ada antara kita tak sempat lalui era dahulu, seperti zaman British dan Jepun.
“Zaman 90-an pun saya sempat lalui tetapi ketika itu saya masih kecil. Justeru, saya berharap agar penghasilan filem ini dapat membawa kita menelusuri kenangan lama yang kita tidak boleh lalui kembali,” katanya.
Selepas kejayaan filem Mael Totey: The Movie, Youtuber popular Syahmi Sazli kembali dengan filem baharu berjudul 35mm.
Menariknya, filem ini membariskan bintang-bintang popular seperti Syahmi sendiri, Asif Suhaimi dan Yoe Parey.
35mm mengisahkan tentang tiga sahabat, Syahmi, Asif dan Yoe yang terperangkap dalam penggambaran ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik.
Antara zaman yang dilewati oleh tiga sahabat itu termasuklah zaman Dinasti Cina, era jajahan Jepun dan juga British.
Setiap era yang dilewati oleh Syahmi, Asif dan Yoe pasti mempunyai cabaran yang perlu dihadapi bagi meloloskan diri.
Apabila mereka berada di tahun 1997, Yoe berasa hiba kerana buat pertama kalinya, dia berpeluang berjumpa dengan ibu bapanya.
Begitupun, mereka terpaksa mencari jalan dengan apa cara sekalipun untuk kembali pada tahun 2020.
Must-Watch Video