Selepas menangguhkan penganjurannya tahun lalu, Festival Filem Malaysia (FFM) 31 kembali pada tahun ini dan bakal berlangsung pada 10 Disember depan.

Sebanyak 55 buah filem dipertandingkan dan karya yang bakal diangkat sebagai Filem Terbaik pada edisi kali ini akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 selain trofi.

Penyertaan filem cereka merangkumi filem Bahasa Malaysia sebanyak 32 judul; filem Tamil (11 filem), Mandarin (lapan filem) serta masing-masing dua filem Bahasa Inggeris dan bahasa Iban.

Kesemua filem ini bersaing merebut 28 kategori termasuk trofi utama, Filem Terbaik.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid, berkata agihan dana itu dibuat dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dalam tatacara permohonan DKD sektor industri kreatif.

"FINAS sebagai penganjur FFM dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bangga dan besar hati dapat bekerjasama menganjurkan FFM31.

"Justeru, untuk FFM31, hadiah DKD bernilai RM500,000 adalah antara pembaharuan yang kami lakukan.
"Ini tanda penghargaan kepada pasukan pembikin filem yang bersungguh-sungguh membuat pembaharuan sehingga mereka berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik," katanya pada sidang media FFM31 di Hotel Royal Chulan The Curve, di Mutiara Damansara pada Rabu.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Malam kemuncak FFM31 akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pada 10 Disember depan mulai jam 9 malam serta menampilkan Awal Ashaari dan Sharifah Shahirah sebagai hos.

Sementara itu, acara Red Carpet pula akan disiarkan secara langsung di YouTube Finas Malaysia bermula 8.00 malam dan dihoskan oleh Naz Habibur Rahman.

Antara filem bersaing adalah Pusaka, Ennaval, Geran, KL Vampires, Sangkar, Anak Perjanjian Syaitan, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Mimaland, Rock 4 : Rockers Never Dai, Ejen Ali The Movie, Ada Apa Dengan Dosa, Roh dan lain-lain.