Skip to main content

Viral

660 Kes Baharu, 4 Kematian, Semua Aktiviti Termasuk Penggambaran Di Kawasan PKPB Dibenarkan Dengan Syarat

befunky-collage-4041.jpg
Malaysia terus mencatatkan jumlah kes baharu  dengan peningkatan sebanyak 660 pesakit, 2 daripadanya adalah kes import dan 658 merupakan kes tempatan.

Dalam sidang media yang diadakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebentar tadi, beliau turut memaklumkan kes kematian hari ini mencatatkan sebanyak 4 orang menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 163.

Jumlah kes aktif secara keseluruhan adalah sebanyak 5,345 pesakit, 101 daripadanya sedang berada unit rawatan rapi (ICU) dan 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh baharu pula adalah sebanyak 350 menjadikan kes sembuh keseluruhan sebanyak 11,372.

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merujuk kepada kenyataan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan, YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut baik mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020.

Dalam kenyataan media pada 13 Oktober 2020, pihak FINAS telah memaklumkan kepada semua pihak produksi bahawa aktiviti penggambaran di kawasan pelaksanaan PKPB adalah dibenarkan dengan syarat perlu mematuhi semua garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Garis panduan itu merangkumi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan.

Bagaimanapun, semua syarikat produksi yang ingin menjalani penggambaran melibatkan pergerakan rentas daerah, mereka haruslah memohon dan mendapatkan kebenaran dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi permohonan atas talian.

Dalam kenyataan sama, pihak FINAS juga berharap agar semua syarikat produksi membiasakan diri dengan amalan norma baharu dan mengelakkan aktiviti penggambaran di kawasan zon merah.


 



Kredit Foto : The Vocket

 

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement