Sekilas
- Takluk 2: OP Daulat, sekuel filem Takluk, akan ditayangkan mulai 26 November dengan aksi ketenteraan lebih besar dan kisah berdasarkan Operasi Daulat 2013 di Lahad Datu.
- Filem ini menampilkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk gambaran realistik serta menonjolkan semangat setiakawan dan pengorbanan anggota keselamatan.
- Barisan pelakon termasuk Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak dan Kamal Adli, dengan tayangan perdana di IOI City Mall, Putrajaya, disokong oleh GSC Movies, Finas, Kementerian Komunikasi dan beberapa penaja utama.
Selepas Takluk: Lahad Datu mencatat kutipan RM26.9 juta pada 2024, sekuelnya, Takluk 2: OP Daulat, bakal menemui penonton dengan aksi ketenteraan berskala lebih besar mulai 26 November ini.
Diinspirasikan daripada Operasi Daulat pada 2013, filem itu menyambung kisah pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, dengan memberi tumpuan kepada usaha pasukan keselamatan menumpaskan kumpulan bersenjata Sulu.
Kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pembikinan filem itu membantu produksi menggambarkan operasi pasukan keselamatan dengan lebih realistik.
Menurut kenyataan media produksi, sekuel berkenaan turut menyorot semangat setiakawan dalam kalangan anggota keselamatan serta pengorbanan keluarga mereka sepanjang konflik itu.
Filem tersebut juga memberi penghormatan kepada anggota keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara.
Antara pelakon yang membintangi filem itu ialah Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi, Anas Ridzuan dan Sara Ali.
Malam gala dan tayangan perdana filem berkenaan berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, malam tadi, dengan menghimpunkan barisan pelakon, kru produksi serta wakil pasukan keselamatan.
Takluk 2: OP Daulat dipersembahkan oleh Multimedia Filem Productions Sdn. Bhd., Skop Productions, GSC Cinemas dan Astro bersama ATM dan PDRM, serta dipersembahkan bersama AG Asia Group.
Filem edaran GSC Movies itu turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi, dengan JETOUR sebagai penaja utama dan CUCKOO sebagai penaja bersama.