Sekilas
- Nina Nadira hadir ke konsert Gegar Vaganza Fantasia untuk sokong rakan AF2014, Firman Bansir, sambil mengenang kembali pengalaman di Akademi Fantasia.
- Dia akui rasa gementar duduk di belakang juri, namun berasa puas dan bermakna kerana platform itu adalah permulaan perjalanan seni dirinya.
- GV Fantasia musim ini menampilkan juara dan alumni AF dengan hos Nabil Ahmad, Jihan Muse, Sherry Alhadad serta juri terkenal seperti Datuk Ramli MS, bersiaran setiap Ahad di Astro Ria.
Penyanyi, Nina Nadira tidak melepaskan peluang menghadiri konsert Gegar Vaganza Fantasia (GVF) bagi memberikan sokongan kepada rakan seperjuangannya dari program Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Firman Bansir.
Menerusi perkongsian di media sosial, Nina mengakui kunjungannya ke lokasi yang pernah menjadi saksi permulaan perjalanan seni itu mengimbau pelbagai kenangan sepanjang menyertai program realiti berkenaan.
Bagaimanapun, Nina tidak menafikan kehadirannya kali ini turut membuatkan dia berasa sedikit gementar, apatah lagi apabila perlu duduk betul-betul di belakang barisan juri.
“Berada semula di sini mengembalikan begitu banyak kenangan, malah ada sedikit trauma juga, hehe. Sejujurnya, pada awalnya saya berasa gementar.
“Tiba-tiba kena duduk betul-betul di belakang juri lagi, lagi lah gementar!
“Tetapi ia juga membuatkan saya merindui banyak perkara sepanjang zaman AF dahulu. Dapat bertemu semula dengan ramai wajah yang pernah dikenali.
“Sudah bertahun-tahun berlalu, tetapi semua orang masih kelihatan sama, seolah-olah tiada masa yang berlalu,” tulisnya.
Dalam masa sama, Nina turut menyifatkan Akademi Fantasia sebagai sebuah platform yang cukup istimewa kerana di situlah bermula perjalanannya sebagai seorang anak seni.
“Tempat ini akan sentiasa mempunyai ruang istimewa dalam hati saya kerana di sinilah segala-galanya bermula.
“Sejujurnya, saya pulang dengan perasaan yang cukup puas dan bermakna,” coretnya.
Untuk info, GV Fantasia musim ini menampilkan himpunan juara serta alumni program Akademi Fantasia termasuk Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.
Empat alumni Akademi Fantasia (AF) iaitu Farah AF2, Felix AF3, Akim AF7, dan Ara Johari (AF2016) turut menjadi bintang sama-sama berentap di pentas GV Fantasia.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Manakala Celcom Digi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia.
Terima kasih diucapkan kepada penaja kerana terus bekerjasama dengan Gegar Vaganza.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.