Sekilas
- Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun pada jam 6.10 petang Selasa, disahkan oleh anaknya Helmy Abdul Samad.
- Beliau menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua, diabetes dan jangkitan paru-paru sebelum meninggal dunia.
- A Samad Said terkenal dengan karya sastera seperti Salina dan menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Sastera Negara pada 1985 serta gelaran Datuk pada 1997.
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said dilaporkan meninggal dunia di usia 91 tahun pada jam 6.10 petang Selasa.
Perkara itu disahkan sendiri oleh anaknya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di Threads.
“6.10. Innalillahi wainnailaihi rojiun,” tulisnya ringkas.

A Samad Said sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke wad petang semalam akibat sakit tua selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.
Untuk info, A Samad Said atau nama sebenarnya, Abdul Samad Mohamed Said, dilahirkan di Melaka merupakan Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan itu pada 1985.
Antara nukilan novel, puisi, drama, dan esei yang berpengaruh, termasuklah karya agungnya adalah Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987), dan kumpulan puisi Liar di Api.
Sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan turut mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Beliau turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.