Sebanyak 67 filem bakal bersaing dalam 32 kategori yang dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke-31 pada 18 April ini.

Bertemakan Inspirasi Sinemaku : Tanpa Sempadan, 67 karya yang bakal dipertandingkan terdiri daripada 35 filem berbahasa Malaysia diikuti Mandarin & Kantonis (15), Tamil (12), animasi (4), dan lain-lain (1).

Menurut Pengurusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac, malam kemuncak FFM31 akan diadakan buat pertama kalinya di Melaka.

"Tahun ini adalah pertama kali kami menganjurkan FFM di Melaka. Pihak Finas telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi menjayakan acara berprestij itu.

"Hajat kami kali ini besar, kami ingin melakukan sesuatu yang berbeza. Seperti yang kita tahu , banyak filem berjaya pecah panggung dalam industri perfileman tahun lalu.

"Ramai penggiat industri kreatif berjaya ke peringkat antarabangsa, filem kita turut membolosi pencalonan di Anugerah Oscar tahun ini," ujarnya.

Hans berkata demikian ketika ditemui di sidang media FFM31 di Finas, Hulu Kelang sebentar tadi.

Tambah Hans, Finas menyasarkan lebih banyak filem tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa tahun ini.

"Nak cakap senang, kritik pun senang, tetapi bukan mudah mahu memasarkan filem tempatan ke luar negara.

"Kami perlukan sokongan daripada semua bahagian penggiat industri kreatif. Kami mahu bersikap adil dan memberi peluang kepada penggiat seni," tambahnya.



Sebanyak empat kategori iaitu Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan Filem Digital terbaik diperkenalkan semula di FFM31.

Sementara itu, kategori Tatarias Terbaik pula pertama kali diwujudkan dalam FFM31.

Majlis perasmian FFM31 akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 9 April 2020 jam 9.00 malam bersiaran langsung di RTM.

Manakala, Encore Melaka menjadi lokasi yang dipilih untuk malam kemuncak FFM31 yang akan berlangsung pada 18 April 2020 jam 9.00malam siaran langsung di Astro.