Laman Utama
'Abe Kelate' Asal Turki Handal Rap Bahasa Melayu - "Saya Belajar Dahulu & Hafal Lirik ..."
Artis baru di bawah naungan KRU Music, DJ Fateh yang berasal dari Turki sangat berminat dalam bidang rap.
Lebih menarik, DJ Fateh mampu bertutur dan rap dalam Bahasa Melayu.
"Saya berasal dari Turki tapi menetap di Kota Bharu, Kelantan sejak tahun 2010.
"Oleh kerana sudah agak lama menetap di sini, saya boleh bertutur dalam Bahasa Melayu selain bahasa ibunda saya Turki, dan Bahasa Inggeris.
"Saya memang minat dengan rap sejak kecil lagi, ketika mula sampai di Malaysia dahulu pun saya sudah mula tertarik dengan lagu-lagu rap di negara ini.
"Jadi, saya belajar Bahasa Melayu dahulu dan hafal lirik lagu rap Bahasa Melayu," katanya.
DJ Fateh berkata demikian ketika ditemui di majlis pengumuman kerjasama antara KRU Music dengan Warner Music dan anak syarikatnya, ADA baru-baru ini.
Tambah DJ Fateh, rapper kegemarannya di Malaysia adalah Malique dan Joe Flizzow.
Menurutnya, dua rapper terkenal itu sangat berbakat dan bijak menghasilkan lirik yang berseni dan penuh makna.
"Rapper kegemaran saya di Malaysia adalah Malique dan Joe Flizzow kerana ayat-ayat yang mereka hasilkan sangat bagus dan penuh makna.
"Bukan senang untuk hasilkan lirik berseni begitu, pernah juga terfikir untuk hubungi Malique untuk mempelajari ilmu rap dengannya, namun setakat ini saya belum tahu bagaimana untuk menghubunginya," katanya lagi
Selain DJ Fateh, KRU Music turut menampilkan tiga lagi artis baru iaitu Dian Hashim, Timur dan Fai Ramli.
Must-Watch Video