Sekilas
- Elyse Tan, Miss Earth Malaysia 2026, terinspirasi daripada adiknya yang mewakili Malaysia dalam sukan renang untuk membawa nama negara di pentas antarabangsa.
- Selain fokus pada pertandingan ratu cantik, Elyse aktif dalam sukan renang dan advokasi keselamatan air melalui inisiatif #BeYouBeSafe.
- Pengarah Kebangsaan Miss Earth Malaysia, Nadia Shakira, memuji komitmen dan kematangan Elyse yang berusia 18 tahun serta berharap dia mampu mencipta sejarah untuk Malaysia.
Melihat adik perempuannya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan renang menjadi antara inspirasi buat Miss Earth Malaysia 2026, Elyse Tan, untuk mencipta pencapaian tersendiri di pentas antarabangsa.
Meskipun membesar di Shanghai, China, gadis berusia 18 tahun itu mengakui semangat cintakan tanah air sentiasa dekat dengan dirinya.
Menurut Elyse, pengalaman menyaksikan adiknya, Shannon Tan, mengenakan topi renang tertera bendera Malaysia ketika bertanding mencetuskan keinginan untuk turut membawa nama negara menerusi bidang berbeza.
“Sebagai seseorang yang membesar di luar negara, saya tahu bagaimana rasanya melihat adik saya di tepi kolam renang memakai topi renang yang ada bendera Malaysia.
“Jadi, sekarang saya rasa sudah tiba masanya untuk saya pula memakai selempang Malaysia dan mencuba untuk mengharumkan nama negara,” katanya kepada Gempak.

Bukan sekadar pencapaian peribadi, penuntut Tsinghua University, Beijing itu turut membayangkan kebanggaan datuk dan neneknya apabila melihat kedua-dua cucu perempuan mereka mewakili negara.
“Saya berasa sangat berbesar hati kerana dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya tahu datuk dan nenek saya juga pasti sangat bangga melihat cucu-cucu perempuan mereka membawa nama negara,” ujarnya.
Bagaimanapun, menggalas harapan sebuah negara pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi Miss Earth 2026 merupakan pengalaman pertama Elyse menyertai pertandingan ratu cantik.

Di sebalik penampilannya yang penuh keyakinan, Elyse tidak menafikan dirinya turut berdepan tekanan dan kegementaran menjelang pertandingan tersebut.
Namun, dia memilih untuk menjadikan perasaan itu sebagai pembakar semangat dalam mempersiapkan diri menghadapi persaingan di pentas dunia.
“Sudah tentu saya berasa sangat tertekan dan gementar apabila perlu mewakili negara.
“Tetapi pada masa sama, saya melihat kegementaran itu sebagai peringatan tentang betapa pentingnya pertandingan ini kepada saya.
“Saya cuba menukarkan perasaan tersebut menjadi keyakinan dan motivasi untuk terus melangkah,” katanya.
Dalam pada itu, Elyse tidak mahu penyertaannya dalam Miss Earth sekadar tertumpu kepada usaha merebut mahkota, sebaliknya mahu memperjuangkan isu keselamatan air dan pencegahan kejadian lemas.
Aktif dalam sukan renang, triatlon dan aktiviti menyelam, Elyse juga merupakan pengajar renang dan keselamatan air bertauliah serta pengasas inisiatif #BeYouBeSafe.
“Sebagai atlet, perenang, peserta triatlon dan penyelam, air sememangnya sangat dekat dengan hati saya.
“Saya mahu membawa sesuatu yang benar-benar saya minati dan ambil berat ke pentas ini.
“Kejadian lemas sebenarnya boleh dicegah. Saya berharap orang lain, khususnya kanak-kanak, turut mempunyai peluang menikmati keindahan laut seperti yang saya rasai,” jelasnya.
Selain keselamatan air, Elyse turut memberikan perhatian terhadap isu pengasidan laut yang boleh menjejaskan ekosistem marin serta kepentingan memelihara khazanah alam semula jadi Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kebangsaan Miss Earth Malaysia, Nadia Shakira Shahrudin, mengakui kagum dengan komitmen dan kematangan Elyse meskipun baru berusia 18 tahun.
Menurut Nadia, latar belakang Elyse dalam bidang akademik, sukan serta advokasi keselamatan air menjadi antara kelebihan yang membuatkannya menonjol ketika sesi pemilihan Miss Earth Malaysia pada Mei lalu.
“Dalam pemilihan kami, sudah tentu aspek fizikal seperti kecantikan dan ketinggian diambil kira, tetapi itu bukan satu-satunya perkara.
“Kami turut melihat tahap kesedaran peserta terhadap isu alam sekitar kerana perkara itu sangat penting dalam pertandingan Miss Earth,” katanya.
Nadia turut menghargai kesungguhan Elyse yang sanggup memperuntukkan masa daripada pengajiannya di Tsinghua University demi memberikan komitmen terhadap pertandingan tersebut.
“Saya sangat menghormati komitmen Elyse serta minat dan kesungguhannya terhadap alam sekitar.
“Walaupun baru berusia 18 tahun, dia mempunyai latar belakang yang sangat baik dan menyeluruh, termasuk dalam bidang sukan serta akademik,” ujarnya.
Mengulas mengenai sasaran Malaysia pada edisi kali ini, Nadia optimis dengan kemampuan Elyse, malah berharap gadis berkenaan mampu mencipta sejarah tersendiri buat negara.
“Saya percaya dengan kebolehan Elyse. Melihat kepada komitmen dan usaha yang ditunjukkannya, ditambah sokongan keluarga serta peminat, sudah tentu saya berharap dia mampu membawa pulang mahkota Miss Earth pertama untuk Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, Elyse berlepas ke Manila, Filipina pada 28 November bagi menyertai pertandingan Miss Earth 2026 yang berlangsung sehingga 17 Disember, manakala acara kemuncaknya dijadualkan berlangsung pada 16 Disember ini.