Acara anugerah hiburan tahunan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat di ibu negara dibenarkan kerana tertakluk di bawah industri kreatif yang termasuk dalam senarai prosedur operasi standard (SOP) yang boleh beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjur dan kru terlibat perlu mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan.

“SOP yang ada memang ketat seperti penonton tidak dibenarkan hadir, mewajibkan peserta memakai pelitup muka, tidak melibatkan warga asing dan jumlah kru yang minimum.

“Konsert itu juga dipantau wakil MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Jika berlaku pelanggaran SOP, penganjur akan diambil tindakan oleh pihak polis,” katanya pada sidang media harian berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Ismail Sabri berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kewajaran ABP diadakan pada tempoh PKPB tetapi perlawanan Piala Malaysia dibatalkan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, perlawanan bola sepak berbeza dengan persembahan hiburan yang dibandingkan sesetengah pihak.

Ia kerana aktiviti sukan bola sepak berada di bawah senarai aktiviti terlarang dalam tempoh PKPB kerana ia merupakan aktiviti sukan bersentuhan.

Sumber: AWANI
Kredit Foto: Forbes India