Demi melindungi kebun duriannya daripada kegiatan mencuri, seorang pemilik dusun tampil dengan idea lebih menyeramkan.

Pemilik dusun durian Kampung Tengah, Segamat iaitu Rosman Budiman, 61, memilih untuk meletakkan figura 'pocong' bagi mengelak daripada hasil buah duriannya dicuri.

Menerusi Harian Metro, Rosman memberitahu dia membeli dua meter kain putih tiga minggu lalu untuk dibentuk sebagai lembaga putih.

"Dua 'pocong' dewasa dibentuk dari kotak kertas setinggi 1.5 meter dan seberat 450 gram disaluti kain putih berjaya mengurangkan kehilangan buahan itu membabitkan 10 pokok durian pada musim ini.

"Sebelum ini, jika lambat memungut buah, pencuri akan melarikannya," katanya.

Tambahnya, dia juga turut membakar gaharu bagi menimbulkan suasana menyeramkan sebelum pulang ke rumah setiap petang.

"Ada kalanya saya sendiri turut seram sejuk akibat bau gaharu jika datang berseorangan untuk mengutip durian.

"Kos penyediaan kesemua bahan berkenaan termasuk gaharu, hanya RM8 sahaja," katanya.

Jelasnya dia sebelum ini pernah meletakkan patung harimau di dusun berkenaan, namun telah dilarikan pencuri.

"Saya terpaksa mencari idea berlainan tiap ketibaan musim durian," katanya.

Sumber: Harian Metro