Laman Utama

Ada Kelakar, Meruntun Jiwa & Beri Inspirasi: Tonton 7 Filem Pendek Raya 2022 Pilihan Gempak

gempak
Azwa Rahman
03/05/2022
04:00 MYT
Sponsor Banner
Ada Kelakar, Meruntun Jiwa & Beri Inspirasi: Tonton 7 Filem Pendek Raya 2022 Pilihan Gempak
Rasa seperti tidak lengkap, tidak berseri Hari Raya Aidilfitri jika tiada iklan raya di kaca televisyen. Malah, iklan raya yang dahulunya berdurasi pendek, telah dinaiktaraf menjadi filem pendek. Lebih panjang, lebih bermakna.
Daripada filem pendek raya sedih, kelakar, beri inspirasi, saban tahun mesej-mesej yang ingin disampaikan sarat dan menusuk ke hati.
Boleh sediakan tisu kalau nak, Gempak senaraikan tujuh filem pendek raya menarik untuk tontonan anda di hari mulia ini.
1. 7 Hari Di Bawah Matahari (Astro)
Filem pendek raya berdurasi 20 minit ini mengisahkan seorang anak muda, Emil yang berdepan pelbagai cabaran selepas dibuang kerja akibat pandemik dan kemudian memutuskan untuk pulang beraya di Perlis dengan menaiki basikal.
Hasil garapan pengarah Razaisyam Rashid dan diterajui oleh bintang berbakat besar Nadhir Nasar, Pekin Ibrahim dan Sherie Merlis, ikuti perjalanan Emil bersama seekor kucing dari Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Taiping, Teluk Intan, Lumut, Alor Setar, Sungai Petani sampailah ke Perlis.
Filem pendek itu telah ditayangkan di Astro Go pada Hari Raya Pertama, jam 8.30 malam dan saluran Astro Ria, Astro Citra, Astro Warna, Astro Prima dan Astro Ceria pada Hari Raya Ketiga, 8 malam.
2. Kiriman Mak (Pos Malaysia)
Demi mak, Ahmad sanggup buat apa sahaja untuk memenuhi hajatnya. Kali ini, Ahmad perlu membuat perjalanan yang adventure dan mencabar untuk membuat penghantaran paling tepat kepada ibunya sempena lebaran ini.
Dengan penampilan istimewa kumpulan Madso, apa yang ada dalam bungkusan tersebut sehingga Ahmad bergegas pulang menghantar sendiri kiriman ibunya?
3. Cerita Konar-Konar (Perodua)
Filem pendek raya ini mengisahkan seorang lelaki bernama Ahmad bercerita tentang Moyang Jaafar atau lebih dikenali sebagai Nyang Jaafar, seorang yang suka membantu.
Nyang Jaafar sentiasa berusaha melakukan lebih daripada yang diharapkan, ringan tulang dan sedia mendengar masalah orang.
4. Nyawa Mama (Kumpulan Pelaburan MARA)
Filem pendek raya meruntun jiwa ini mengisahkan tiga orang anak yang selalu sibuk sehingga mengabaikan ibu mereka.
Dilakonkan oleh barisan anak seni tersohor seperti Fatimah Abu Bakar, Fauziah Ahmad Daud, Amerul Affendi dan Shera Aiyob, kisah mereka akan membuatkan anda lebih menghargai ibu bapa dan keluarga kerana setiap yang hidup pasti ada penghujungnya.
5. Chop! Raya Dulu! (Vivo)
Filem pendek ini mengisahkan sebuah keluarga kaya yang mula mengenali erti hidup bermasyarakat semasa sambutan Raya.
Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, ia menyaksikan Kassim (Dato’ Afdlin Shauki), isterinya Zaleha ( Diana Danielle) dan anak mereka, Kamil (Irfan) yang sebelum ini suka bermegah-megah dengan cerita rancangan percutian Hari Raya mereka ke Switzerland, akhirnya terpaksa tinggal di rumah kerana pandemik.
6. Raya Macam Cara (TNB)
Dua tahun tak boleh beraya, kali ini anak-anak dari setiap pelusuk negeri berpeluang raya bersama. Anak-anak yang menetap di Kelantan, Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor semua berkumpul.
Istimewanya lagi, Jero kucing yang popular di dalam setiap iklan TNB turut buat kemunculan.
Sangat kreatif cara TNB menampilkan kepelbagaian serta keunikan dari serata negeri di Malaysia.
7. 366: Hari Ke-123 (Petronas)
Petronas tahun ini mempersembahkan sebuah drama bersiri '366', arahan pengarah popular, Kabir Bhatia.
Drama bersiri ini mengisahkan Poji, seorang pemuda yang berani dan rajin yang pulang ke kampung halamannya dengan harapan untuk memenuhi impiannya dengan cinta zaman kanak-kanaknya terhadap gadis bernama Ayu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024