Laman Utama

Ada Yang Kerugian Hingga RM76,000, Seramai 380 Bakal Jemaah Haji ‘Tersidai’ Di KLIA Gara-Gara Ditipu Agensi

gempak
Izwan Isa
08/07/2022
02:20 MYT
Sponsor Banner
Ada Yang Kerugian Hingga RM76,000, Seramai 380 Bakal Jemaah Haji ‘Tersidai’ Di KLIA Gara-Gara Ditipu Agensi
Hasrat hati untuk mengerjakan haji bagi kira-kira 380 bakal jemaah terbantut apabila visa yang diuruskan oleh sebuah agensi pelancongan didapati tidak sah, menyebabkan rombongan berkenaan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi laporan Sinar Harian, mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan telah meminta semua jemaah di bawah kendaliannya untuk datang ke KLIA pada Khamis kerana penerbangan dijangka berlepas pada pukul 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan telah ditangguh ke pukul 7 malam.
"Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira 6 petang tadi dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan," katanya.
Menurutnya, mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya ke Jeddah pada Selasa lepas namun ditangguhkan atas alasan ada dokumen yang masih tidak lengkap.
Beliau berkata, bakal jemaah juga tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.
Seorang lagi jemaah yang dikenali sebagai Jamilah, 59, berkata beliu reda dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan suami, sambil menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.
"Sehingga ke saat ini kami masih tidak mendapat pasport kami lagi kerana ia masih dipegang oleh pihak agensi pelancongan," katanya yang datang dari Terengganu dan telah membayar RM76,000 kepada agensi pelancongan untuk menunaikan haji bersama suaminya.
Jamilah berkata, kakitangan agensi pelancongan itu ada hadir bertemu dengan kumpulan terbabit namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai masalah itu.
"Kami tidak pernah ditunjukkan tiket kapal terbang dan visa tetapi kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka namun tak sangka kami juga menjadi mangsa penipuan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata, pihak polis masih merakamkan keterangan daripada pengendali agensi pelancongan tersebut.
Difahamkan ada di antara mereka telah membayar sebanyak 16,000 hingga 35,000 untuk pakej yang ditawarkan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024