Skip to main content

Hiburan

Siti Khadijah Terus Terbang Tinggi, Bergandingan Dengan 2 Pelakon Indonesia Dalam Telefilem ‘My Toxic Boyfriend’

Siti Khadijah

Sekilas

  • UTV Nusantara dilancarkan sebagai platform hiburan digital yang menggabungkan kerjasama kreatif antara Malaysia dan Indonesia dengan tiga telefilem terbaharu, termasuk 'My Toxic Boyfriend'.
  • Telefilem ini dirakam di Indonesia dengan gabungan pelakon dari kedua-dua negara, manakala dua telefilem lain menampilkan pelakon Indonesia sepenuhnya untuk memenuhi citarasa penonton serantau.
  • Selain telefilem, Usanita Entertainment turut melancarkan single muzik kolaborasi penyanyi Malaysia dan Indonesia, menandakan pengembangan syarikat ke dalam industri muzik serantau.
Advertisement

UTV Nusantara membuka lembaran baharu dalam industri hiburan serantau menerusi pelancaran rasmi platform berkenaan yang menjadi pemangkin kepada kerjasama kreatif antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus memperkenalkan tiga telefilem terbaharu iaitu ‘My Toxic Boyfriend’, ‘9 Bulan’ dan ‘Puteri Maya’ yang diadakan di Hotel Waldorf Astoria, Kuala Lumpur.

 

Advertisement

Inisiatif yang diterajui Usanita Entertainment itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh hubungan industri kreatif kedua-dua negara, khususnya menerusi penerbitan kandungan hiburan berkualiti yang menggabungkan kepakaran produksi, bakat lakonan dan potensi pasaran digital Nusantara.

 

Sebagai pembuka tirai, telefilem ‘My Toxic Boyfriend’ dipilih untuk dilancarkan terlebih dahulu sebelum dua lagi naskhah, ‘9 Bulan’ dan ‘Puteri Maya’, diperkenalkan kepada penonton menerusi pengumuman yang akan dibuat pada masa akan datang.

Advertisement

 

Menariknya, ketiga-tiga telefilem berkenaan menjalani penggambaran di Jakarta dan Yogyakarta, Indonesia dengan kerjasama pasukan produksi tempatan negara itu, memperlihatkan usaha UTV Nusantara dalam mewujudkan sinergi penerbitan rentas sempadan.

 

‘My Toxic Boyfriend’ menampilkan pelakon Malaysia, Siti Khadijah Halim yang bergandingan dengan dua pelakon Indonesia, Cinta Brian dan Adly Fayruz. 

 

Gabungan tiga pelakon berkenaan menjadi antara tarikan utama telefilem itu yang turut mengetengahkan kerjasama bakat seni daripada dua negara serumpun.

 

Sementara itu, dua lagi telefilem, ‘9 Bulan’ dan ‘Puteri Maya’, dibintangi sepenuhnya oleh barisan pelakon Indonesia, adalah pendekatan UTV Nusantara dalam mempelbagaikan kandungan hiburan bagi memenuhi cita rasa penonton di rantau ini.

 

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Entertainment, Datuk Adzliana Hasan, berkata pelancaran UTV Nusantara merupakan langkah strategik dalam memperluas ekosistem hiburan digital, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama antara penggiat industri kreatif Malaysia dan Indonesia.

 

“Pelancaran UTV Nusantara bukan sekadar memperkenalkan sebuah platform hiburan digital, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada usaha kami membina hubungan kreatif yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia.

 

“Kami melihat kedua-dua negara mempunyai kekuatan tersendiri dari segi bakat, penceritaan dan kepakaran penerbitan. Justeru, kerjasama ini membolehkan kami menggabungkan kelebihan tersebut bagi menghasilkan kandungan yang bukan sahaja dekat dengan masyarakat Nusantara, malah berpotensi menarik perhatian penonton yang lebih luas,” katanya.

 

Menurut Adzliana, pemilihan Indonesia sebagai lokasi penggambaran bagi ketiga-tiga telefilem itu turut mencerminkan kesungguhan pihaknya untuk membangunkan kerjasama produksi yang lebih menyeluruh dengan rakan industri di Indonesia.

 

“Kami mahu UTV Nusantara menjadi platform yang memberi ruang kepada bakat kreatif kedua-dua negara untuk bekerjasama, berkongsi pengalaman dan menghasilkan karya yang mempunyai nilai komersial serta kekuatan penceritaan.

 

“Melalui penerbitan tiga telefilem ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelakon, pengarah, penulis skrip dan tenaga produksi untuk meneroka pasaran hiburan serantau secara lebih aktif,” katanya.

 

Mengulas mengenai pelancaran ‘My Toxic Boyfriend’, Adzliana berkata telefilem berkenaan menjadi antara langkah awal pihaknya dalam memperkenalkan kandungan eksklusif yang boleh diakses oleh penonton menerusi platform UTV.

 

Telefilem itu akan mula ditayangkan secara rasmi pada 23 November 2026, jam 9 malam, menerusi platform UTV dengan harga langganan hanya RM9.50, sekali gus menawarkan pilihan hiburan digital pada kadar yang berpatutan.

 

“Kami mahu memastikan kandungan yang diterbitkan dapat dinikmati oleh lebih ramai penonton tanpa perlu berbelanja besar. Dengan kadar langganan RM9.50, kami berharap UTV dapat menjadi antara pilihan masyarakat untuk mendapatkan hiburan yang menarik dan berkualiti.

 

“Pada masa sama, kami mahu membina hubungan jangka panjang dengan penonton menerusi penawaran kandungan yang pelbagai, segar dan mempunyai identiti Nusantara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran single sulung terbitan Usanita Entertainment berjudul ‘Janji Untuk Setia’, yang menampilkan kolaborasi dua penyanyi Indonesia, Allan Andersn dan Rimar.

 

Pelancaran lagu itu menandakan langkah pertama Usanita Entertainment dalam memperluas kegiatan syarikat ke bidang penerbitan muzik, selain memperkukuh kedudukannya sebagai entiti hiburan yang merangkumi penerbitan kandungan visual dan karya muzik.

 

Menurut Adzliana, pembabitan Usanita Entertainment dalam industri muzik merupakan sebahagian daripada perancangan syarikat untuk membangunkan ekosistem hiburan yang lebih menyeluruh, sekali gus memberi peluang kepada penggiat seni untuk meneroka kerjasama kreatif dalam pelbagai cabang industri.

 

“Selain penerbitan telefilem dan kandungan digital, kami turut melihat industri muzik sebagai satu bidang yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan melalui kerjasama serantau.

 

“Pelancaran ‘Janji Untuk Setia’ yang dinyanyikan Allan Andersn dan Rimar menjadi permulaan kepada usaha kami meneroka penerbitan muzik. Kami berharap kerjasama ini dapat membuka ruang kepada lebih banyak projek muzik yang menghubungkan bakat Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang,” katanya.

 

Tambahnya, perkembangan platform penstriman dan penggunaan media digital yang semakin meluas turut membuka peluang kepada syarikat penerbitan tempatan untuk memperkenalkan kandungan kepada penonton tanpa dibatasi sempadan geografi.

 

Sehubungan itu, UTV Nusantara akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan kreatif yang mampu memenuhi keperluan penonton masa kini, selain menggalakkan kerjasama strategik bersama penerbit dan penggiat seni dari kedua-dua negara.

 

Pelancaran UTV Nusantara, ‘My Toxic Boyfriend’ dan ‘Janji Untuk Setia’ menandakan permulaan kepada perancangan lebih besar Usanita Entertainment dalam memperluas portfolio kandungan hiburan, memperkukuh jaringan produksi antarabangsa dan mewujudkan lebih banyak peluang kolaborasi dalam industri kreatif Nusantara.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

HETCH V3 Pro Hyper-Clean Handheld Dust Mite Bed Vacuum Cleaner & Mop Vakum Dan Mop HVC-1416-HC

HETCH V3 Pro Hyper-Clean Handheld Dust Mite Bed Vacuum Cleaner & Mop Vakum Dan Mop HVC-1416-HC

NETFLIX Account 4K FIix Account Premium Plan Neflix High Quality

NETFLIX Account 4K FIix Account Premium Plan Neflix High Quality

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

POP MART Hirono Road Journal Series-Plush Doll Pendant Blind Box

POP MART Hirono Road Journal Series-Plush Doll Pendant Blind Box

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Must Watch Video

Advertisement
Advertisement