Sekilas
- Jennifer Barreto dari Puerto Rico mencipta sejarah sebagai ibu pertama yang memenangi mahkota Miss Universe 2026 pada usia 27 tahun.
- Selain cantik, Barreto mempunyai dua ijazah sarjana dalam Psikologi dan Kerja Sosial Klinikal serta berkhidmat dalam Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
- Dia aktif dalam kerja sukarelawan dan menggunakan platform Miss Universe untuk memperluas kerja kebajikan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Memecahkan stereotaip dunia ratu cantik, wakil Puerto Rico, Jennifer Barreto mencipta sejarah sebagai wanita bergelar ibu pertama yang berjaya merangkul mahkota Miss Universe.
Kemenangan wanita berusia 27 tahun itu pada edisi ke-75 Miss Universe yang berlangsung di Coliseo José Miguel Agrelot, San Juan pada 24 November sekali gus menghadiahkan mahkota keenam buat Puerto Rico.
Barreto yang merupakan isteri kepada Jean Carlos Barreto turut mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun bernama Penélope.
Apa yang lebih menarik, jelitawan itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pertandingan ratu cantik sebelum menyertai Miss Universe Puerto Rico.

Memetik laporan Gulf News, Barreto mendedahkan pengalaman pertamanya berjalan di pentas peragaan adalah pada Februari lalu, hanya empat bulan sebelum dinobatkan sebagai Miss Universe Puerto Rico.
Mewakili San Sebastián pada pertandingan peringkat kebangsaan, Barreto pada mulanya menyertai pertandingan tersebut kerana ingin mencuba pengalaman baharu, namun perjalanan itu akhirnya mengubah dirinya.
“Saya bukan lagi wanita yang sama ketika mula menyertai Miss Universe Puerto Rico,” katanya kepada El Vocero.
Barreto sebelum ini turut mendedahkan bahawa dia berjaya menurunkan berat badan kira-kira 32 kilogram sebelum merangkul gelaran ratu cantik peringkat kebangsaan.

Membesar di Isabela, Barreto sejak kecil sering menonton pertandingan Miss Universe bersama ibunya, tanpa menyangka suatu hari nanti dia sendiri akan dinobatkan sebagai pemenang pertandingan berprestij itu.
Bukan sekadar memiliki kecantikan fizikal, Barreto turut mempunyai latar belakang akademik yang membanggakan apabila memiliki dua ijazah sarjana, masing-masing dalam bidang Psikologi dan Kerja Sosial Klinikal.
Menurut NDTV, Barreto berkhidmat sebagai pakar pencegahan dalam bahagian tentera darat di bawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Di sebalik kesibukan menguruskan kerjaya dan keluarga, dia turut aktif sebagai sukarelawan bersama Persatuan Diabetes Pediatrik Puerto Rico bagi membantu kanak-kanak yang menghidap diabetes serta keluarga mereka.
Sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Miss Universe 2026, Barreto berhasrat menjadikan kesihatan mental sebagai fokus advokasinya, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan emosi wanita dan keluarga.
Dia juga mahu memperlihatkan bahawa status sebagai seorang ibu tidak seharusnya membataskan seseorang wanita daripada mencapai matlamat peribadi mahupun profesional.
Pada sesi soal jawab pentas akhir, Barreto diajukan soalan mengenai nilai kemanusiaan yang perlu dipertahankan ketika teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin memainkan peranan dalam kehidupan seharian.

Barreto menewaskan wakil Dominican Republic, Melissa Núñez yang muncul sebagai naib juara, manakala wakil Venezuela, Clara Vegas menduduki tempat ketiga.
Wakil Filipina, Bea Millan-Windorski dan New Zealand, Georgia Waddington pula masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.