Pemikiran materialistik sememangnya sudah tidak boleh dipisahkan dengan kebanyakan orang dalam masyarakat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kekayaan sehingga ramai yang sanggup melakukan apa sahaja demi duit.

Itulah yang ingin disampaikan penyanyi MeerFly dalam buah tangan terbarunya berjudul Duit.

Melihat judulnya saja, sudah pasti pendengar sudah boleh meneka inti keseluruhan karya nukilan komposer hebat, Farouk Roman ini.

Menariknya, kolaborasi mereka agak unik di mana ia mencantumkan dua hala tuju yang cukup berbeza dalam sebuah lagu. Sebagaimana ramai tahu, Farouk sendiri lebih kepada penghasilan lagu berat dan menusuk.

Justeru, gabungan melodinya dengan lirik ciptaan MeerFly semestinya memiliki magis tersendiri.

“Lagu ini memang mengenai wang sepenuhnya. Sekarang, manusia berlumba-lumba dan rakus mengejar wang sehingga alpa bahawa kekayaan wang bukanlah segala-galanya dalam kehidupan.

"Ada yang sentiasa merasa tidak cukup dan terus mengejarnya lebih daripada keperluan sebenar,” katanya.

Apapun, menurut MeerFly bukan mudah untuk menyempurnakan karya berkenaan kerana hampir keseluruhannya adalah eksperimen yang cukup asing buatnya.

“Secara peribadi, saya suka cara saya bawa lagu ini. Terdapat empat corak berbeza saya cuba dalam lagu ini yang belum pernah dibuat dalam mana-mana lagu sebelum ini.

"Bahagian paling mencabar tentunya pembawaan corak baharu itu. Duit adalah sebuah eksperimen yang mencabar namun proses hasilkan muziknya paling memuaskan,” katanya lagi.

Menariknya, lagu ini juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama arahan Norhanisham Muhammad yang berjudul Scammer.

Ditayangkan di Astro Ria, jam 11 malam, bermula 24 Mei, drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Kamal Adli, Siti Saleha, Fasha Sandha, dan ramai lagi.

Bertepatan dengan tema cerita itu sendiri, MeerFly juga menyifatkan lagu Duit cukup sempurna menggambarkan perjalanan kisah drama Scammer.

Baginya, penonton drama ini pasti akan dapat merasai sendiri betapa lagu itu ada kesinambungan yang cukup menarik apabila mengikutinya kelak.

Duit boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.